Jenayah

RM81j Dadah Dirampas Setakat 13 April

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM81 juta membabitkan 49,492 kes dalam tempoh tiga bulan tahun ini hingga 13 April lalu.

Dalam tempoh itu juga, seramai 55,903 individu ditahan, yang mana 2,304 daripadanya membabitkan warga asing.

Memetik sumber Berita Harian Online, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata usaha berterusan pihaknya memerangi jenayah itu, terutama sindiket dadah antarabangsa turut berhasil membongkar lapan premis yang dijadikan makmal memproses dadah di seluruh negara.

Katanya, kejayaan membongkar sindiket dadah itu adalah hasil kerjasama rapat dan perkongsian maklumat risikan antara polis negara ini dengan pihak berkuasa negara lain.

“Setakat 13 April lalu, kita sudah merampas 333.55 kilogram (kg) syabu, 21.91kg ketamin, 47,235 biji pil ekstasi, 731,932 pil yaba dan 2,564,397 biji pil erimin 5.

“Selain itu, turut dirampas adalah 44.21kg ganja dan 150.39kg heroin dengan nilai keseluruhan RM81.67 juta,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, dalam kes terbaharu pada 13 April lalu, hasil maklumat Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China (NNCC) dan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa menumpaskan satu lagi sindiket dadah antarabangsa didalangi dua lelaki Nigeria.

Beliau berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 31 dan 33 tahun itu dibuat Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) di kawasan Taman Pusat Kepong, di sini, bersama tiga kotak besar dipercayai mengandungi syabu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kotak itu menemui 47 beg galas dengan 10 daripadanya mengandungi syabu seberat 5.08kg dianggarkan bernilai RM400,000, disorokkan pada satu bahagian dalam beg berkenaan.

“Semakan ke atas suspek mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai pasport perjalanan sah dan seorang daripada mereka didapati positif dadah.

“Berdasarkan siasatan, dadah ini dibawa masuk dari China menggunakan kargo untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, suspek direman hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");