Perak Hari Ini

Runtuhan Tapak Pelupusan Teluk Mengkudu: Jabatan Alam Sekitar Telah Ambil Tindakan

IPOH: Jabatan Alam Sekitar Perak telah mengambil tindakan ekoran masalah runtuhan di tapak pelupusan Teluk Mengkudu yang mengakibatkan sampah dan airnya telah mengalir ke dalam laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, berkata tindakan telah diambil ke atas aduan yang diterima mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di bawh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mensyaratkan pihak pemaju menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengambil langkah-langkah mitigasi bagi mengawal pencemaran dari berulang di masa akan datang.

“Jabatan Alam Sekitas juga telah menjalankan kerjasama dengan pihak Majlis Daerah Manjung bagi mengatasi masalah ini secara berterusan dengan mengambil kira semua aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar,” katanya ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) di Sidang DUN Perak Ke-13 di Ipoh, hari ini.

Menurut beliau juga, kerja-kerja pembaikan ban yang pecah telah dilakukan pada 25 Januari yang lalu.

“Kerja-kerja pembaikan ban yang pecah dengan menambak sel utama di tapak pelupusan Teluk Mengkudu telah dilakukan pada 25 Januari 2017 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari 2017 oleh Majlis Perbandaran Manjung.

“Langkah-langkah pencegahan yang telah diambil bagi mengelakkan perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang adalah dengan meninggikan paras benteng di sel utama serta memantau keadaan keseluruhan di tapak pada setiap hari.

Menjawab soalan tambahan mengenai pengawalan pencemaran udara terutama daripada aktiviti kenderaan bermotor, beliau menerangkan beberapa operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan bermotor telah dijalankan di negeri Perak antaranya Operasi Kawalan Pelepasan Asap Hitam Kenderaan Diesel, Operasi Kawalan Pelepasan Gas CO/HC Kenderaan Petrol, Operasi Kawalan Pelepasan Bunyi Bising dari Motosikal, Pemeriksaan Terhadap Pengendali Berkumpulan (Fleet Operator), Penguatkuasaan Pengurusan Refrigeran dan Penguatkuasaan Persampelan Petrol RON 97.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");