Perak Hari Ini

Saranan Penambahan Wakil Rakyat Wanita Di Parlimen Disambut Baik

IPOH: Biarpun kerajaan pernah meluluskan dasar penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat namun penglibatan mereka masih di kadar yang rendah.

Baru-baru ini juga, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menggesa parti-parti politik di negara ini untuk meletakkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum akan datang.

Saranan beliau (Speaker) itu dilihat disambut baik oleh beberapa ahli politik yang menganggap ia merupakan satu langkah yang baik untuk memacu pembangunan negara.

Bagi Ahli Parlimen Bagan Serai, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, beliau merasakan saranan Pandikar Amin sebagai satu pandangan yang baik memandangkan tidak ramai Ahli Parlimen wanita pada hari ini.

“Saya merasakan ianya merupakan satu pandangan yang baik. Sekarang ini bilangan Ahli Parlimen wanita memang kurang.

“Walaubagaimanapun, calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria sebagai pemimpin yang cukup dan disukai oleh rakyat,” katanya.

Beliau juga mengatakan beliau tidak merasa tercabar malah menganggap golongan wanita mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.

“Saya tidak rasa akan ada sebarang cabaran kepada kepimpinan lelaki malah sepatutnya kerjasama yang lebih baik perlu dijalinkan.

“Golongan wanita ini lebih rajin, kuat bekerja dan ikhlas dalam setiap apa yang mereka lakukan. Cuma mereka mempunyai masalah kekuatan yang kurang dari golongan lelaki dan mereka sukar untuk bergerak bebas seperti lelaki,” ujarnya.

Turut bersetuju, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, beliau terharu dengan kenyataan tersebut dan menganggap ianya sebagai pengiktirafan kepada golongan wanita. 

“Saya berasa terharu dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Speaker. Ianya bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada kebolehan dan keupayaan wanita untuk berkhidmat tetapi juga memberi isyarat bahawasanya wanita juga boleh berkhidmat setanding atau lebih baik sebagai wakil dan suara rakyat berbanding kaum lelaki.

“Saya berharap melalui kenyataan Tan Sri Speaker ini juga ianya akan membuka jalan kepada kepimpinan tertinggi untuk menambahkan kerusi bagi calon wanita yang berkredibiliti dalam pilihanraya yang akan datang,” katanya.

Turut menyokong, ADUN Temengor, Salbiah Mohamed yang menyokong kenyataan tersebut dan menganggap ianya sebagai satu usaha dalam meningkatkan sasaran 30 peratus golongan wanita yang dilihatnya masih jauh lagi untuk dicapai.

“Sebagai seorang wanita saya bersetuju 100 peratus. Jika kita lihat di Parlimen sendiri hanya ada beberapa orang sahaja wakil rakyat dari kalangan wanita. Jadi ini dapat dijadikan sebagai usaha untuk kita meningkatkan sasaran penglibatan 30 peratus golongan wanita yang saya lihat masih lagi jauh untuk dicapai.

“Oleh itu saya berharap adalah wajar untuk kepimpinan tertinggi menyambut baik cadangan tersebut,” jelas beliau.

Menurut ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman, beliau tidak rasa tercabar sekiranya terdapat lebih ramai wakil rakyat dari kalangan wanita di Parlimen malah beliau menganggap ianya sebagai satu usaha yang baik untuk perkembangan politik di Malaysia.

“Saya tidak rasa tercabar kerana ianya merupakan satu usaha dan ramuan yang baik untuk politik di Malaysia berkembang dengan lebih baik demi kemajuan negara kita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");