Penyampai Radio Era FM, Radin memberitahu bahawa dirinya bersama pelakon Ayda Jebat tidak pernah bercinta dan hubungan rapat mereka sebelum ini hanyalah sebagai kawan semata-mata.
Dalam laporan MStar, Radin, 27, dilaporkan berkata, beliau tidak patah hati apabila Ayda Jebat kini dikatakan sedang rapat dengan aktor Redza Rosli.
Malah beliau menjelaskan, sebagai kawan beliau sentiasa mendoakan kebahagiaan penyanyi lagu Nakal itu termasuk dengan siapa wanita berkenaan ingin menjalinkan hubungan cinta.
“Saya tidak kecewa atau berkecil hati, daripada dulu lagi kami hanya kawan sahaja dan tidak pernah pun bercinta.
“Jadi bila ada orang yang ingat saya ditinggalkan dia tidak benar, saya sendiri gembira dan sentiasa doakan yang baik-baik untuk mereka,” katanya.
Malah pemilik nama asal Radin Amir Effendi itu berkata, beliau dan pelakon drama Maid itu masih lagi berhubung dan sering bertemu di majlis-majlis hiburan.
“Memang ramai yang komen kasihankan saya bila keluar berita berkaitan Ayda, tolong jangan kasihankan saya. Saya baik-baik sahaja.
“Kami baru sahaja bertemu beberapa hari lalu dalam sebuah majlis.
“Saya akui ada peminat yang suka dan mahu melihat kami bersama tapi kenyataannya mereka perlu bezakan antara kerja dan peribadi,” ujarnya selepas diminta mengulas tentang komen netizen yang bersimpati terhadapnya selepas Ayda Jebat dikatakan kini semakin rapat dengan Redza Rosli.
Tambah Radin, beliau berharap peminat-peminatnya akan terus menyokong kerjaya mereka masing-masing.
Radin mengendalikan segmen Super 40 Era yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis.