Isu Panas

Saya Tidak Terjejas Dengan Isu Melagakan Kepimpinan Negara – Hishammuddin

SENDAYAN: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, beliau tidak terjejas dengan sebarang isu melibatkan dirinya dengan tujuan melaga-lagakannya dengan kepimpinan sedia ada selepas dilantik Menteri Tugas-Tugas Khas Di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, pelantikan itu juga tidak menjadi isu kerana telah dibincangkan lebih awal dalam kalangan pemimpin tertinggi.

“Hasrat saya mahu memikul amanah ini dan membantu Perdana Menteri tanpa menjejaskan pertimbangan lain yang mungkin ada tujuan melagakan kepimpinan kita.

“Alhamdulillah, saya lihat di media sosial lantikan ini diterima dengan baik, juga oleh pemimpin kita, ia dibincang lebih awal di peringkat kepimpinan tertinggi,” katanya semasa sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan serta Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Pada Rabu, Datuk Seri Najib dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub menganggap pelantikan Hishammuddin itu sebagai isyarat Datuk Seri Najib akan melepaskan jawatannya dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut pelantikannya, Hishammuddin menegaskan perlu berbincang dengan Datuk Seri Najib terlebih dahulu kerana skop peranannya adalah untuk membantu Perdana Menteri.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan menganggap pelantikan Hishammuddin bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid.

Namun, Ahmad Zahid berkata pelantikan itu amat sesuai dan beliau yakin Hishammuddin mampu untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Beliau turut menyokong tugas baharu yang diberikan kepada Hishammuddin untuk membantu Perdana Menteri dalam misi dan tugas-tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan tugas tertentu yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan, memetik sumber Astro Awani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");