Jenayah

Sebutan Kes Bunuh Jong-nam 30 Mei

SEPANG: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes dua wanita warga asing yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Memetik sumber Berita Harian Online, Hakim Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai majistret menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad.

Terdahulu, Muhammad Iskandar memohon mahkamah menetapkan tempoh sebulan setengah bagi sebutan semula kes memandangkan dokumen masih belum lengkap.

Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, jam 9 pagi.

Terdahulu, ketibaan Siti Aisyah dan Thi Huong secara berasingan sekitar jam 8 pagi di Kompleks Mahkamah Sepang dikawal ketat Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), manakala Pasukan Tempur Ringan (LSF) berkawal sekitar mahkamah.

Kedua-dua tertuduh dilihat memakai jaket kalis peluru sebagai langkah keselamatan.

Pemberita dan jurugambar serta juru video daripada pelbagai negara antaranya Malaysia, Indonesia, Jepun, Vietnam dan Singapura sudah mula berkumpul di luar kompleks mahkamah seawal jam 6 pagi.

Pada prosiding hari ini, barisan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Mohd Fairuz Johari.

Sementara itu, peguam S Selvi, Azura Alias, Loke Kok Mun dan Wong Kah Hung juga bertindak bagi pihak Siti Aisyah, manakala, Thi Huong diwakili peguam Datuk Naran Singh dan Hisham Teh Poh Teik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");