TELUK INTAN: Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama belia Hilir Perak dilihat mendapat sambutan baik dari golongan itu disini, hari ini.
Sesi dialog yang diadakan bersempena Program Permukiman Daerah Menteri Besar itu juga merupakan sesi dialog pertama di daerah Hilir Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau berbangga dengan penglibatan belia-belia Hilir Perak yang bertenaga bagi merealisasikan TN50.
“Saya berbangga dengan penglibatan anak-anak muda ini yang bertenaga, beraspirasi dalam menyampaikan pandangan dan impian mereka bagi merealisasikan TN50.
“Pihak kerajaan negeri akan sentiasa memberi ruang kepada golongan belia untuk mereka menyampaikan hasrat mereka tidak kira sama ada dalam bentuk polisi atau kami akan sediakan platform yang sesuai untuk mereka menghadapi tahun 2050 nanti,” katanya selepas Sesi Dialog TN50 yang diadakan di Dewan Bandaran Teluk Intan.
Menurut beliau, penganjuran program ini adalah sebagai langkah bagi kerajaan negeri menyahut seruan kerajaan pusat untuk mendengar suara belia.
“Sesi dialog ini juga diadakan sebagai langkah menyahut seruan kerajaan pusat agar kita dapat mendengar suara anak-anak muda ini.
“Biarpun program ini hanya dijalankan di Hilir Perak, tetapi anak-anak muda di sini amat berpotensi, mempunyai daya fikir dan impian yang baik untuk masa depan mereka dalam negara dan di negeri Perak,” katanya.
Zambry turut mengatakan harapan beliau untuk melihat belia yang hadir pada malam ini dapat menjadi pemimpin masa depan dan meneruskan usaha pemimpin masa kini.
“Menjadi harapan saya untuk melihat setiap belia yang datang pada malam ini dapat menjadi pemimpin di masa depan dan mereka dapat meneruskan kepimpinan di pelbagai peringkat dan juga memimpin negeri atau negara dalam keadaan maju dan berjaya,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, antara aspirasi yang menjadi perhatiannya adalah bagaimana pihak kerajaan dapat merapatkan jurang di antara penduduk di luar bandar dan di bandar pada tahun 2050 nanti.
“Sasaran kita pada tahun 2050 nanti kita ingin pastikan penduduk di luar bandar juga akan mendapat peluang yang sama seperti apa yang diperolehi penduduk di bandar.
“Kita akan mencari jalan untuk merapatkan jurang perbezaan antara penduduk luar bandar dan di bandar,” katanya.