SHAH ALAM: Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal bersedia untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia.
Presiden Parti Warisan Sabah itu berkata, SPRM boleh memanggilnya pada bila-bila masa sahaja untuk mengambil keterangan berhubung isu berkenaan bagi membersihkan namanya daripada dakwaan tersebut.
“Saya sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya pihak berkuasa memerlukan maklumat bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut,” katanya menerusi laman Facebook beliau.
Pada 24 Mac lalu, media melaporkan dua bekas pegawai kanan syarikat itu yang bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat, direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kontroversi tersebut sebelum dibebaskan tujuh hari kemudian dengan jaminan RM10,000.
Isu itu mendapat perhatian apabila akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai atasan Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne pada 2013.
Shafie adalah menteri bertanggungjawab ketika Mara mengambil keputusan untuk membeli hartanah itu dua tahun lalu.
“Isu itu mengaitkan nama saya sebagai ahli parlimen yang pernah memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” jelasnya, memetik sumber Sinar Harian Online.
Katanya, beliau difahamkan kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan SPRM, namun ia tidak menghalangnya memberikan kerjasama jika perlu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, siasatan kes pembelian hartanah itu dijangka mengambil masa sehingga hujung tahun ini susulan maklumat baru diterima badan siasatan itu.
Setakat ini, seramai 24 saksi dipanggil dan SPRM telah menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi premis termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat Mara serta yang berkaitan dengannya, selain banyak dokumen sudah dirampas.