Berita Hari Ini

SL1M Ibarat ‘Talian Hayat’

KOTA SAMARAHAN: Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) diibaratkan seperti `talian hayat’ bagi menangani isu pengangguran dengan menyediakan peluang pekerjaan dan skim latihan kepada rakyat. Menerusi inisiatif itu yang dilaksanakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, tumpuan diberikan kepada kelompok graduan baharu yang dilengkapkan dengan kemahiran tinggi sesuai dengan kehendak pasaran.

Pencari kerja, Aini Roslan, 21, antara yang mendapat manfaat daripada penganjuran SL1M Peringkat Negeri Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini semalam apabila berjaya memperoleh pekerjaan diimpikannya di ibu negara.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sudah lama berhasrat merantau untuk menimba pengalaman dan pengetahuan yang lebih luas.

“Saya baru sahaja menamatkan pengajian peringkat Diploma dalam bidang Pelancongan dan berharap untuk menimba pengalaman kerja sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran saya.

“Memang saya tidak menyangka cubaan pertama ini berjaya dan menerima tawaran bekerja di Coffee Bean and Tea Leaf di Kuala Lumpur hanya selepas sesi temu duga selama 10 minit,” katanya ketika ditemui BH.

Aini berkata, beliau ditawarkan mengikuti latihan selama enam bulan di sebuah cawangan kafe itu di Kuala Lumpur, dengan gaji asas RM1,400 dan penginapan serta elaun makan RM550 sebulan selain tiket penerbangan ditanggung.

Jeareni Presalla, 32, yang tamat pengajian pada 2011 pula berkata, beliau masih lagi mencari pekerjaan yang sesuai dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ekonomi) yang dimilikinya.

“Saya mengemukakan permohonan dengan syarikat besar seperti Petronas, Celcom dan Maybank dengan harapan mendapat pekerjaan yang lebih baik,” katanya yang kini bertugas sebagai juruwang di sebuah pasar raya.

Dalam ribuan pengunjung yang memenuhi lokasi penganjuran SL1M, ramai juga kalangan pelajar yang hadir untuk mendapatkan maklumat peluang pekerjaan sebelum mereka menamatkan pengajian.

Pelajar UNIMAS, Arquilyn Augustine, 20, antara yang tidak mahu melepaskan peluang itu kerana banyak maklumat perlu diketahuinya

“Saya ke sini untuk mengetahui apakah kriteria yang diperlukan oleh syarikat yang menawarkan pekerjaan dan ia amat penting sebagai persediaan sebelum saya tamat pengajian,” katanya, memetik sumber Berita Harian Online.

Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata pihaknya kagum dengan sambutan di UNIMAS iaitu lokasi ketiga penganjuran berkenaan apabila berjaya mencapai sasaran 16,000 pengunjung.

“Inilah peluang yang dibuka luas kepada kumpulan sasar itu untuk mendapatkan peluang pekerjaan ataupun mahu mencari peluang meningkatkan kemahiran dengan mengikuti latihan yang ditawarkan.

“Kita gembira dengan sambutan pada program di UNIMAS ini dan percaya keadaan sama akan berlaku di lokasi seterusnya,” katanya.

# INFO

– Jadual SL1M

* Alor Setar (5 & 6 Mei)

* Kota Kinabalu (22 & 23 Julai)

* Ayer Keroh (26 & 27 Ogos)

* Tanjung Malim (23 & 24 September)

Fakta Nombor

– 100 syarikat multinasional, GLC menyertai SL1M

– 13,000 peluang pekerjaan, skim latihan disediakan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");