IPOH:Kerajaan Negeri bakal mewujudkan Perbadanan Stadium bagi memastikan prasarana kemudahan sempena penganjuran SUKMA 2018 tidak menjadi projek ‘gajah putih sejurus berakhirnya penganjurannya kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perbadanan tersebut bertanggungjawab mengawal selia infrastuktur selepas penganjuran SUKMA berakhir.
“Prasarana itu dapat tukarkan kepada ‘profit center’ seperti yang dilakukan di Kompleks Sukan Bukit Jalil yang tidak hanya tertumpu sebagai lokasi acara sukan,” katanya menjawab soalan lisan diajukan oleh ADUN (BN-Manjoi) Mohammad Ziad Mohamed Zainal Abidin pada persidangan DUN hari ini.
Terdahulu beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan negeri telah bersedia sejak awal lagi selaku tuan rumah SUKMA ke-19 pada tahun hadapan.
“Segala persiapaan untuk menjuarai keseluruhan SUKMA 2018 serta turut berjaya dari segi penganjuran telah pun bermula sejak penghujung tahun 2016,” katanya.
Malah jelasnya langkah awal adalah memberi fokus mengenai persiapan infrastruktur termasuklah mengenalpasti lokasi pengajuran sukan di setiap daerah.
“Persiapan dikelolakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengkaji aspek keperluan lokasi untuk membaik pulih semula, dinaik taraf, diselenggara atau pembinaan baru,” katanya.
Katanya, setakat ini kompleks renang dalam proses menaiktaraf yang telah mencecah sebanyak 23 peratus kerja pembinaan dan dijangka siap pada Februari 2018 dan kompleks Lapang Sasar menembak di Chepor telah memulakan kerja pembinaan pada bulan Januari lalu.
“Ada beberapa infrasruktur lain sedang dalam proses tender dan lantikan pembekal untuk memulakan kerja dan kemua lokasi yang dipilih perlu menyiapkan lokasi masing-masing sekurang-kurangnya enam bulan sebelum SUKMA berlangsung untuk diuji dan dibuat pertandingan pra-SUKMA,” katanya.