Jenayah

Suspek Bunuh Jong-nam Dikawal Ketat

SEPANG: Dua wanita asing yang didakwa membunuh warga Korea Utara, Kim Jong-nam, dibawa di Kompleks Mahkamah Sepang di sini Khamis untuk sebutan semula kes dalam keadaan dikawal ketat.

Dua tertuduh berkenaan tiba dalam konvoi pacuan empat roda berasingan oleh anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap serta diiringi polis trafik dan kereta peronda polis.

Konvoi pertama pacuan empat roda yang membawa warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, tiba kira-kira 7.50 pagi manakala konvoi pacuan empat roda membawa warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, tiba 10 minit kemudian.

Kebanyakan media tidak dapat melihat dua suspek berkenaan kerana mereka dibawa ke bahagian belakang mahkamah yang tidak dapat diakses semua media.

Media juga tidak dibenarkan masuk ke lobi dan kawalan di sekitar kompleks mahkamah juga diperketatkan dengan kehadiran anggota polis yang agak ketara ramai.

Beratus-ratus jurugambar dan jurukamera yang bertugas sedia menanti begitu lama dan terpaksa berpuas hati mengambil gambar dan visual kedua-dua suspek dari jarak jauh.

Polis trafik juga mengawal lalu lintas di laluan di hadapan kompleks mahkamah.Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Februari lepas.

Media tempatan dan luar negara berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Sepang seawal 4 pagi bagi mendaftar diri bagi membuat liputan kes sebutan semula dua warga negara asing itu.

Pada 1 Mac, kedua-dua wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, klia2, pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Disebabkan tumpuan luar biasa pengamal media, pintu pagar kompleks mahkamah yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi itu ditutup serta dikawal ketat oleh pihak polis.

Hanya wartawan yang membuat liputan berita kes berkenaan dibenarkan masuk.

Wartawan, jurugambar dan jurukamera lain tidak dibenarkan ‘berlegar-legar’ di kawasan pekarangan mahkamah.

Seorang pegawai polis IPD Sepang menerangkan bahawa arahan tidak membenarkan liputan di sekitar kawasan mahkamah itu adalah bagi mengelakkan adegan tolak menolak antara satu sama lain. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");