KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menghadiahkan insentif wang tunai RM100,000 dan RM100,000 lagi untuk skim insentif latihan buat pelumba negara, Azizulhasni Awang, sebagai pengiktirafan di atas kejayaannya menjuarai acara keirin Kejohanan Trek Basikal Dunia di Hong Kong, minggu lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif, mengumumkan perkara itu pada majlis menyambut kepulangan dan meraikan kejayaan anak jati Dungun itu, di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Beliau berkata, insentif berkenaan diharap bukan saja dapat menjadi pendorong buat Azizulhasni mencipta lebih banyak kejayaan di dalam dan luar negara, tetapi juga sebagai penyuntik semangat untuk atlet dan anak muda lain melakar kejayaan dalam bidang sukan.
“Kejayaan Azizulhasni sangat membanggakan seluruh rakyat Terengganu dan insentif ini adalah penghargaan di atas segala kerja keras dan pengorbanan beliau untuk negeri dan negara.
“Kerajaan negeri juga merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh keluarga Azizulhasni terutama ibu bapa, isteri dan anak beliau yang banyak berkorban sekali gus menyumbang kejayaan besar ini,” katanya, memetik sumber Berita Harian Online.
Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan pembinaan velodrom di Dungun dengan kos keseluruhan dianggarkan RM10 juta dan Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan RM1 juta untuk kerja tapak.
Sementara itu, Azizulhasni mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas pengiktirafan dan penghargaan daripada kerajaan negeri dan berharap kejayaannya dapat menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk tidak berputus asa dan bekerja keras mengejar cita-cita dan mencipta kejayaan untuk negara.