Isu Panas

Tidak boleh debat di Malaysia, kita debat di Antartika – Nazri

KUALA LUMPUR: Debat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dibuat di luar negara seandainya tidak mendapat kebenaran diadakan di Malaysia, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut beliau, pihaknya sedia menunggu tarikh baru debat termasuk sedia berhujah bersama bekas perdana menteri itu di kawasan polis.

Tegasnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk berdebat dengan Dr Mahathir.

“Kita boleh buat di London, di Antartika, bila-bila masa sahaja.

“Kalau di Malaysia tidak boleh, kita buat di Antartika, di sana banyak penguin, penguin ini tidak faham bahasa Melayu atau Inggeris,” katanya sinis semasa sidang media di bangunan Parlimen pada Isnin memetik sumber Astro Awani.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff pada Ahad berkata, dialog antara Dr Mahathir dan Mohamed Nazri yang dirancang diadakan pada 7 April dibatalkan atas faktor keselamatan, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Jelasnya, sehingga Ahad, polis telah menerima 18 laporan daripada individu di negeri ini yang membantah debat tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri menolak sebarang cadangan debat itu diadakan di tempat tertutup dan ditonton hanya di media sosial.

“Saya mahu pertemuan secara fizikal (berhadapan). Saya mahu ada penonton dan bukan ditayang di laman sosial.

“Mengapa debat ini dibatalkan, saya tidak tahu. Mungkin saya dilihat ancaman kepada negara, untuk Dr Mahathir mungkin tidak kerana dia sudah tua,” jelasnya.

Pada Sabtu, polis membatalkan kebenaran penganjuran debat itu yang dijadualkan diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Terdahulu pada 25 Mac, debat antara kedua-dua tokoh politik itu di Padang Rengas, Perak turut dibatalkan atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad menafikan menerima sebarang aduan daripada penduduk kawasan itu mengenai debat di antara Dr Mahathir dan Mohamed Nazri.

“Ada yang tanya, ada atau tidak mana-mana warga Shah Alam yang buat aduan kerana takut keselamatan, tidak ada.

“Saya hendak beritahu polis, jika mereka takut hendak buat di kawasan terbuka, buatlah di IPD.

“Saya rasa semua wartawan juga boleh ke IPD, kalau di IPD tidak selamat, ada sesuatu yang tidak kena dalam negara kita,” katanya.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam menyifatkan debat itu wajar diteruskan malah dunia kini sudah semakin terbuka dan politik negara juga telah berada di peringkat matang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");