Isu Panas

Tindakan kerajaan pusat tak bentang RUU bukti konsensus utuh dalam BN – Liow

KLANG: Tindakan kerajaan Pusat tidak membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 menunjukkan konsensus yang utuh dalam Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu yang menyatakan parti komponen BN adalah lemah dan tidak berkuasa dalam menyuarakan pendapatnya.

“Langkah yang dibuat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) itu membuktikan suara parti komponen BN masih didengari dan diambil berat,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama anggota MCA Bahagian Klang di sini Khamis malam.

Pada 29 Mac lepas, Najib mengumumkan kerajaan Pusat tidak akan membentangkan RUU berkenaan di Parlimen dan ia kekal sebagai RUU persendirian susulan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang secara konsensus membuat keputusan itu.
RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Terdahulu, Liow merasmikan pembukaan Bilik Gerakan Jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) MCA Bahagian Klang, di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian itu, Liow memberi jaminan pembangunan lebih pesat bakal dilaksanakan di Klang sekiranya rakyat mengembalikan mandat kepada BN pada PRU14 untuk menerajui kawasan berkenaan.

Beliau berkata, mandat itu kelak akan memberi peluang kepada wakil rakyat MCA Klang membarisi Kabinet seterusnya membawa suara dan kemahuan masyarakat setempat untuk didengar kerajaan Pusat terutamanya dalam sektor pembangunan.

Kedudukan Pelabuhan Klang di tangga ke-11 sebagai antara pelabuhan tersibuk di dunia memerlukan kewujudan pelabuhan ketiga bagi memenuhi keperluan operasi perkapalan selepas Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat setakat ini.

“Disebabkan itu, MCA memohon pengundi Klang memberi mandat kepada BN mewakili kawasan ini dan kita akan bangunkan pelbagai sektor ekonomi kerana Klang mempunyai potensi tinggi untuk terus dimajukan.

“Saya beri amanat kepada MCA Klang supaya menyusun gerak kerja menyatupadukan rakyat di sini kerana komuniti Cina tidak sepatutnya diletakkan di ‘luar’ kerajaan Pusat yang mana kita tidak akan mendapat faedah daripadanya,” katanya.

Kerusi Parlimen Klang dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pandamaran, Kota Alam Shah serta Pelabuhan Klang dimenangi pakatan pembangkang selama dua penggal sejak 2008.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");