Perak Hari Ini

TT5 Tiada Masalah: MB Inc Selar Kenyataan AMANAH

IPOH: Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim menyelar kenyataan yang telah dilakukan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengenai kegagalan projek kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5).

Katanya, AMANAH menerusi kenyataannya telah mempersoalkan kebolehan MB Inc dalam mengendalikan projek ini.

Justeru beliau menyuarakan rasa kecewanya dan beranggapan bahawa kenyataan itu sebagai sesuatu yang tidak adil.

“Saya rasa kenyataan dari AMANAH ini tidak adil. Saya ingin menjemput pihak AMANAH secara peribadi untuk mengadakan lawatan melihat kapal korek itu.

“Saya juga boleh bagi mereka goreng pisang panas dan teh tarik ketika lawatan itu nanti. Tiada masalah,” ujarnya.

Aminuddin ketika ditemui menjelaskan pihaknya kini sedang dalam proses membaik pulih kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5) dan pembangunan kawasan di sekitarnya.

Menurut beliau, sejak mengambil alih projek tersebut pada tahun 2015, pihaknya telah membangunkan pelan strategik bagi memastikan projek ini berjaya.

“Kita telah membangunkan pelan strategik bagi memastikan projek ini berjaya. Bukan kerja yang senang untuk kita mengambil alih kapal korek yang sudahpun berusia 70 tahun ini, oleh itu kita seharusnya mempunyai perancangan agar projek ini tidak gagal.

“MB Inc telah mengambil alih projek ini pada tahun 2015 dan sejak itu kita telah mula membuat perancangan dan setiap perancangan ini memakan masa. Pada tahun 2016 kita telahpun memulakan kerja menaik taraf seperti menaik taraf galeri, membaik pulih kapal korek dan kini sedang membangunkan kawasan di sekitarnya,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Beliau juga berkata, pihak MB Inc tidak pernah menerima sebarang dana malah mereka menggunakan dana mereka sendiri dalam usaha membaik pulih warisan sejarah yang terdapat di negeri Perak ini.

“Kita tidak menerima sebarang dana, sebaliknya hasil dari keuntungan yang ada kami simpan ke dalam tabung ayam dan duit dari tabung ayam itu kami gunakan bagi tujuan kerja-kerja menaik taraf kapal korek ini.

“Ini adalah antara usaha supaya rakyat dapat menikmati sendiri warisan ini di masa hadapan,” jelasnya.

Aminuddin turut menjelaskan, walaupun kerja-kerja menaik taraf telah dilakukan, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuka kawasan ini selagi tidak mendapat sijil pengesahan keselamatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");