Isu Panas

Tuduhan Mukhriz tak berasas

SUNGAI PETANI: Tindakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang menuduh Kerajaan Persekutuan mengabaikan Kedah dianggap sebagai tidak berasas.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata tuduhan dibuat Mukhriz itu hanya bertujuan meraih simpati rakyat selepas beliau beralih arah kepada pembangkang.

“Kalau dia kata Kerajaan Pusat mengabaikan Kedah, itu tidak betul kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dua kali turun ke Kedah.

“Kerajaan juga menyalurkan beberapa bantuan dan peruntukan, termasuk RM320 juta bagi melaksanakan projek mega di negeri ini seperti Bandar Raya Getah serta Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP).

“Selama dia (Mukhriz) memegang jawatan Menteri Besar Kedah lebih dua tahun, dia tidak pernah cakap Kerajaan Persekutuan dah abaikan negeri…sekarang apabila dia dah jadi pembangkang, dia cakap macam tu pula,” katanya memetik sumber Berita Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perjumpaan dengan 1,300 anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh Kedah di Dewan Kampus Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, cubaan meraih undi dan mengelirukan rakyat itu sudah menjadi amalan parti pembangkang bagi menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Itulah yang akan dibawa oleh pembangkang walaupun apa sokongan yang diberi atau pun peruntukan yang disalur Kerajaan Persekutuan.

“Mereka tetap akan kata Kerajaan Persekutuan tak membantu…dia nak buat tuduhan supaya rakyat simpati kepada pembangkang, sekali gus mengundi mereka,” katanya.

Mukhriz dalam ucapannya ketika program bertemu penduduk Kampung Dulang Besar di Yan, mendakwa Kerajaan Persekutuan mengabaikan tanggungjawab pada Kedah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");