Berita Hari Ini

UIAM Naib Juara Debat Bahasa Arab

DOHA: Pasukan debat Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul naib juara pada Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa 2017 ke-4 untuk kategori terbuka yang berlangsung di Doha, Qatar, awal pagi ini.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan UIAM hari ini, pasukan debat daripada Universiti Qatar dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan UIAM pada pusingan akhir.

Universiti Qatar dan UIAM berentap dalam kategori penutur jati bahasa Arab.

Wakil pendebat UIAM, Muhammad Nurfirman Mohamed tersenarai sebagai pendebat ketiga terbaik bagi kategori bukan penutur bahasa Arab.

Pada pusingan akhir itu, tajuk yang diberikan ialah “Dewan ini percaya bahawa kelompok muslim sederhana wajar untuk memohon maaf dan mengkritik segala bentuk keganasan di atas nama Islam”.

Untuk format pertandingan akhir ini, pasukan diberikan tajuk setengah jam sebelum pertandingan dan akan dikuarantin setengah jam berikutnya untuk mereka berbincang untuk mengumpul hujah.

Mereka juga sama sekali tidak dibenarkan menggunakan alat peranti seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk mencari jawapan.

Setiap orang diberikan masa sebanyak tujuh minit untuk menyampaikan hujah kepada pihak lawan.

Pertandingan ini adalah debat Bahasa Arab yang paling berprestij dengan penyertaan dari negara seperti Palestin, Oman, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pertandingan debat Bahasa Arab ini paling besar di dunia dengan penyertaan lebih dari 80 universiti dari 46 negara.

Pertandingan yang bertaraf dunia ini diadakan dua tahun sekali bertujuan mengumpulkan pendebat muda berbahasa Arab dan bukan berbahasa Arab dari Eropah, Amerika Utara, Afrika, Asia Barat dan Asia Tengah.

Buat julung kalinya, pasukan UIAM ini diwakili oleh empat anak Melayu yang bukan penutur asal bahasa Arab berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Pendebat berkenaan terdiri daripada Abd Rahim Elias, Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helmi, Muhammad Nazri Rostam dan Muhammad Nurfirman Mohamed.

Keempat-empat mereka yang tidak pernah mengikuti kursus Bahasa Arab di mana-mana negara Arab sebelum ini mengejutkan banyak nama besar dalam arena debat bahasa Arab seperti Universiti Khartoum (Sudan), Universiti Sultan Qaboos (Oman) dan Universiti Birzeit (Palestin) sebelum melangkah ke peringkat akhir.

Sepanjang penganjuran Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa ini, belum pernah ada pasukan yang diwakili oleh bukan penutur asal bahasa Arab berjaya menjejakkan kaki ke peringkat akhir kategori terbuka.

Pasukan UIAM mengharungi lima pusingan dan berjaya mengalahkan Universiti Sultan Qobus dari Oman di pusingan octo, bagi mendapatkan tempat sebagai 16 pasukan terbaik dari 88 pasukan yang bertanding.

UIAM mencatatkan keputusan yang sangat baik dengan berada di tangga yang ke-9 dari 16 pasukan yang layak ke pusingan kalah mati.

Di pusingan suku akhir, UIAM mengalahkan pasukan lawan, Universiti Khortoum dari Sudan, bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Pasukan debat Bahasa Arab UIAM berjaya mara ke peringkat akhir selepas menewaskan pasukan debat Universiti Birzeit dari Palestin di separuh akhir.

Sebanyak tiga universiti mewakili Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), UIAM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam pertandingan ini, memetik sumber Berita Harian Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");