Berita Hari Ini

Ukir Gincu Mahal Untuk Tawan Hati Gadis

Hangzhou (China): Seorang pelajar seni di timur China mengukir kepala kucing pada beberapa gincu daripada jenama mahal untuk dihadiahkan kepada gadis yang diminatinya.

Wang Yangming, pelajar jurusan ukiran dari Akademi Seni China di sini, menggunakan gincu dari jenama Dior, Bobbi Brown dan Burberry untuk membuat ukiran itu.

“Orang kata, anda perlu menghadiahkan gincu untuk menambat hari wanita.

“Tetapi saya memilih mengukir imej kucing kerana kaum wanita sukakannya,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Sebagai pelajar seni ukiran konvensional, Wang biasanya membuat ukiran menggunakan objek besar.

Katanya, membuat ukiran pada objek yang kecil seperti gincu itu satu cabaran yang besar.

Dia membeli gincu dari jenama terkenal secara dalam talian dan mengukir imej wajah kucing padanya.

Katanya, dia mengambil masa 10 jam untuk menyiapkan ukiran gincu yang pertama selepas dia mematahkan lima gincu sepanjang proses itu.

Kisah Wang itu menjadi perdebatan hangat di media sosial apabila ramai pengguna berpendapat wanita lebih gembira menerima gincu yang asal.

“Itu bukannya satu kejutan tetapi satu mimpi ngeri bagi wanita,” kata seorang pengguna laman sosial Weibo.

“Apa yang kamu potong itu sebenarnya adalah wang,” kata seorang lagi pengguna.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");