Perak Hari Ini

Urusan Secara Online Bukti Perkhidmatan Awam Lebih Telus

IPOH: Dalam usaha untuk mengurangkan tanggapan negatif orang ramai terhadap penjawat awam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil initiatif dengan pendekatan berurusan secara digital atau online.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Sri Zainal Rahim Seman, usaha ini dilakukan ekoran terdapat banyak aduan atau persepsi negatif masyarakat terhadap penjawat awam khususnya berkaitan isu integriti.

“Saya percaya melalui pendekatan berurusan secara digital atau online ia akan dapat meningkatkan mutu setiap urusan yang orang ramai lakukan dengan mana-mana pejabat kerajaan.

“Mereka tidak perlu lagi untuk datang sendiri ke pejabat, segala urusan boleh dilakukan secara online. Setiap permohonan juga boleh dibuat menggunakan applikasi di telefon pintar mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau juga berkata, melalui pendekatan ini setiap urusan juga akan menjadi lebih telus berbanding berurusan secara bersemuka.

“Berurusan secara online ini akan menjadikan setiap urusan itu lebih telus berbanding secara bersemuka. Contohnya dalam urusan pembayaran saman, berkemungkinan di situ akan berlaku urusan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Saya percaya pada masa akan datang kita akan dapat mengurangkan setiap urusan yang memerlukan orang ramai untuk datang ke pejabat kerajaan melainkan urusan-urusan yang penting seperti pengambilan passport dan sebagainya.

Tambah beliau juga, penjawat awam perlu memberikan komitmen yang tinggi bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan awam.

Zainal hari ini menghadiri Majlis Interaksi KPPPA Bersama Pegawai Muda Negeri Perak yang diadakan di dewan bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada 138 orang pegawai dari pelbagai skim dan gred perkhidmatan dari pelbagai agensi di negeri Perak dan juga surat persaraan kepada 18 orang penjawat awam yang bakal bersara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");