The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang,yang baharu sahaja dinobatkan sebagai juara keirin Kejohanan Dunia Trek di Hong Kong pada bulan lalu bakal menerima pemberian insentif wang tunai daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).
Bendahari, ACC, Datuk Amarjit Singh Gill,berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengurusan ACC yang diadakan di Dubai, Sabtu lalu.
“Dalam pertemuan itu, saya dan para perwakilan serta semua ahli lembaga bersetuju untuk mengiktiraf pencapaian Azizul di Hong Kong dimana beliau bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia tetapi Asia secara keseluruhan dengan berjaya dalam Kejohanan Dunia itu” katanya menerusi satu kenyataan media.
Amarjit yang juga merangkap Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkata imbuhan wang tunai berjumlah USD 5,000 (RM 21,680) berserta momento khas akan disampaikan kepada Azizul pada tarikh, masa dan tempat yang akan diputuskan.
Terdahulu pada Mesyuarat Lembaga Pengurusan ACC , turut membincangkan mengenai usaha ACC untuk menarik perhatian Majlis Olimpik Asia dalam usaha mengembalikan jumlah asal 10 acara trek dan bukannya kini hanya setakat 7 acara serta berkaitan penyertaan berbasikal pada Sukan Para Asia.
Jelasnya, Berbasikal Para Asia adalah merupakan sebahagian program berbasikal yang melibatkan pihak ACC serta mempunyai atlet yang berpontensi besar.
Berikutan itu katanya, Presiden ACC, Osama Al Rejab memaklumkan pihak Majlis Olimpik Asia (OCA) berkaitan dengan pendirian ACC.