Jenayah

‘Geng Bapak Waha’ Tumpas, 33 Kes Curi Selesai

KOTA TINGGI – Polis daerah ini berjaya menyelesaikan sindiket curi kenderaan selepas lumpuhnya ‘geng bapak Waha’ dalam operasi dijalankan awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, seramai 13 suspek berusia 19 hingga 45 tahun termasuk seorang lelaki warga Indonesia ditahan dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 33 kes kecurian motosikal di sekitar daerah ini bagi tempoh sepanjang tahun ini.

Katanya, bertindak atas maklumat Ops Lejang pada 9 Mei anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi diketuai Inspektor P Devendiran telah membuat serbuan di sebuah pondok bengkel kereta di Felda Bukit Waha.

“Dalam serbuan itu lima lelaki berjaya ditangkap dipercayai terlibat kes kecurian kenderaan. Ekoran itu tangkapan susulan telah dilakukan di perumahan kilang sawit di kawasan sama keesokan harinya.

“Hasil soal siasat terhadap suspek menemukan sebuah kereta jenis Datsun 120Y yang tidak ada nombor pendaftaran serta nombor enjin dan chasis diganggu.

“Siasatan lanjut membawa pasukan ke sebuah bengkel di Kampung Segundal, Tanjung Sedili dan seorang suspek telah ditahan bersama motosikal Yamaha 125Z dimana nombor enjin dan chasis juga diganggu,” katanya pada sidang media di IPD Kota Tinggi sebentar tadi.

Hasil siasatan terperinci terhadap semua suspek telah membawa kejayaan sehingga tertangkapnya 13 suspek secara keseluruhannya dalam operasi dinamakan Ops Lejang Bapak Waha yang berjalan selama empat hari itu.

Ahsmon (depan, dua, kiri) menunjukkan rangka motosikal dirampas selepas tumpasnya sindiket curi kenderaan oleh geng bapak Waha.

Katanya, usaha gigih berterusan sepanjang tempoh ini, pihak polis juga telah berjaya membuat rampasan sebanyak 10 motosikal, lima buah rangka motosikal dan sebuah kereta jenis Datsun 120Y.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM115,000. Sindiket yang bergerak sejak awal 2016 ini menumpukan kawasan ladang dan dengan tangkapan ini kita percaya sindiket ini telah lumpuh.

“Kita juga percaya mereka mencuri untuk menjual komponen pada bahagian motosikal dan kereta yang dileraikan. Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Mei ini. Kes disiasat dibawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan, Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan juga Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan mengalukan maklumat dari masyarakat dalam menyalurkan info berkaitan jenayah kelada pihak polis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");