Isu Panas

Husain, Satiful Teraju Pas Negeri

KUALA NERUS – Pas Terengganu di bawah pimpinan Pesuruhjaya baharu, Datuk Husain Awang bakal bergandingan dengan bekas Pesuruhjaya Pas pada penggal sebelumnya, Satiful Bahri Mamat yang dilantik sebagai timbalannya bagi membantu beliau membawa Pas Terengganu ke hala tuju lebih baik khususnya menjelang PRU14.

Lantikan bagi sesi 2017-2019 yang diumumkan Husain dilihat tidak banyak berbeza dengan jawatankuasa diterajui Satiful Bahri pada sesi lepas kerana sebahagian besar menampilkan orang yang sama sekaligus gabungan ulama, profesional dan tenaga muda masih dikekalkan.

Berhubung dengan perkara itu, Husain turut memberitahu bahawa beliau akan menyambung kepimpinan terdahulu dengan membuat beberapa penambahbaikan yang wajar memandangkan pelantikan beliau dibuat dalam keadaan Pas Terengganu masih kuat.

“Kepimpinan melihat Pas Terengganu sedang berusaha atau sedang menunggu untuk menjadi pengganti kepada BN menggantikan Umno dan BN di Terengganu dan harapan yang paling besar yang diharapkan oleh pihak kepimpinan ialah untuk memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat. Itulah harapan yang diberi mandat kepada saya oleh kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Lantikan Jawatankuasa Pas Terengganu di Kompleks Tarbiyah Darul At-Taqwa (Komtaq) Kuala Nerus, di sini, semalam lapor Sinar Harian.

Selain Satiful Bahri sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Terengganu, Dr Alias Razak dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas II dan Yahaya Ali sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas III.

Jawatan Penolong Setiausaha I, II dan III masing-masing disandang Wan Sukairi Wan Abdullah, Hanafiah Mat dan Shaharizukirnain Abd Kadir.

Jawatan bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya masing-masing kekal disandang M Shukrimun Shamsudin, Mohd Nor Hamzah dan Ariffin Deraman manakala empat daripada tujuh AJK lantikan memperlihatkan perubahan.

Dalam masa sama, Husain bersyukur kerana beliau mengambil alih Pas Terengganu dalam keadaan Pas negeri masih kukuh.

“Saya mengambil kepimpinan Pas Negeri Terengganu dalam keadaan parti Pas Terengganu ini mempunyai satu organisasi yang begitu kuat, yang begitu mantap yang ditinggalkan oleh pesuruhjaya yang lalu dan saya akan terus menyambung sesuatu yang ditinggal dan akan mengadakan pembaikan dan penambahbaikan, insya-ALLAH,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");