Berita Hari Ini

Ibu Bapa Perlu Pantau Alat Komunikasi Diguna Anak

PUTRAJAYA – Ibu bapa dan penjaga diminta memantau penggunaan alat-alat komunikasi dalam kalangan anak-anak bagi mengelak mereka terpengaruh dengan gejala negatif di internet termasuk perlakuan yang mendorong kepada membunuh diri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata perkara itu membimbangkan apabila adanya aplikasi yang mampu mempengaruhi kanak-kanak untuk membunuh diri, seperti yang tular kebelakangan ini.

Selain ibu bapa, katanya kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memantau aplikasi seperti itu di negara ini.

“Perkara ini boleh termasuk dalam Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak kerana mereka mungkin diperlakukan secara seksual sehingga membawa kepada perlakuan bunuh diri.

“Dari semasa ke semasa, kita akan pinda undang-undang supaya dapat menghindari perkara sebegini…Internet buka sahaja di rumah tetapi hingga di dalam bilik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kejadian bunuh diri melibatkan budak lelaki berusia 12 tahun di Masai, Johor pada Rabu lepas, Rohani berkata kementerian akan menghantar pakar psikiatri kanak-kanak bagi menyiasat punca yang mendorong dia membunuh diri.

Beliau berkata isu mengenai pengaruh internet terhadap kejadian membunuh diri juga pernah disuarakan oleh wakil kanak-kanak dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-kanak.

Sambil mengakui peranan keibubapaan semakin sukar pada masa ini, beliau berkata kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus menggalakkan majikan supaya mengadakan kursus yang memberi pendedahan kepada ibu bapa bekerja mengenai teknik mengimbangi tanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya.

Tahun lepas, sebanyak 58 majikan swasta melibatkan 2,089 peserta menyertai kursus tersebut.

“Kursus ini diadakan oleh LPPKN di tempat kerja, jadi kerjasama daripada majikan amat digalakkan supaya kursus ini dapat dijalankan di premis mereka,” katanya. –Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");