Berita Hari Ini

Jabatan Biokeselamatan Perkenal Tatacara Persampelan

PUTRAJAYA – Jabatan Biokeselamatan akan memperkenal tatacara pensampelan dan 10 standard operasi piawai (SOP) bagi penguatkuatkuasaan pengesanan organisme diubah suai yang hidup (LMO).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan dilakukan dalam masa empat bulan akan datang bagi menjamin keselamatan produk makanan dan biodiversiti di negara ini.

LMO adalah hasil yang dibangunkan melalui bidang teknologi kejuruteraan genetik yang membolehkan gen daripada satu organisme dipindahkan ke organisme yang lain.

Beliau berkata, tatacara pensampelan dan SOP berkenaan yang sedang dibangunkan kementeriannya itu turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kesihatan.

“Ini dilakukan bagi tujuan bagi memperkasa fungsi pemantauan dan penguatkuasaan LMO di bawah Akta Biokeselamatan 2007 untuk memastikan pembangunan teknologi moden tidak membawa kemudaratan kepada kesihatan masyarakat dan sumber biodiversiti negara,” katanya.

Katanya, di bawah Akta Biokeselamatan, tatacara permohonan telah diwujudkan di mana LMO yang diluluskan sahaja dibenarkan untuk dilepaskan ke persekitaran dalam negara seperti penanaman dan kegunaan sebagai makanan serta kegunaan industri.

“Selain memproses permohonan LMO, penguatkusaan merupakan satu lagi elemen penting dalam memastikan pelaksanaan Akta Biokeselamatan 2007 dilakukan dengan berkesan,” kata Wan Junaidi kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Biokeselamatan Kebangsaan 2017: Sedekad Biokeselamatan di Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, bagi memastikan produk yang terhasil daripada aplikasi bioteknologi moden seperti LMO adalah pada paras yang boleh diterima, analisis biokeselamatan ke atas produk-produk yang memasuki pasaran negara adalah penting untuk dilaksanakan.

“Pengesanan LMO oleh Jabatan Biokeselamatan melalui pengambilan sampel telah menunjukkan peningkatan setiap tahun dan pada 2016 sebanyak 894 sampel telah dianalisis dengan 155 sampel dikesan positif mengandungi LMO,” katanya.

Beliau menjelaskan antara fungsi Jabatan Biokeselamatan adalah mengawal selia pelepasan, pengimportan, pengeksportan dan kegunaan terkawal organisme hidup dan pelepasan hasilan organisme sedemikian.

“Sehingga kini sebanyak 34 kelulusan aktiviti pelepasan telah diluluskan dan 126 kelulusan kegunaan terkawal telah diberi,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");