Sukan Hari Ini

Jadikan Jijoe ‘Role Model’

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Johan Keirin Dunia Azizulhasni Awang menjadi role model (contoh ikutan) rakyat Malaysia khususnya golongan muda dalam bidang sukan.

Beliau berharap pencapaian Azizulhasni akan mendorong rakyat Malaysia mengambil bahagian dengan lebih cergas dalam bidang sukan.

“Mudah-mudahan saudara Azizulhasni boleh menjadi ikon sebab dia berkebolehan bertutur dengan baik, mempunyai personaliti yang baik dan orangnya pun baik.

”Saya yakin saudara Azizulhasni akan menjadi role model khususnya kepada golongan muda,” katanya pada majlis penyampaian seunit suite kediaman sumbangan Naza Corporation Holdings kepada Azizulhasni di Seri Perdana di sini Jumaat.

Mengenai sumbangan Naza Corporation Holdings, Najib berkata ia merupakan penghargaan sektor korporat terhadap sumbangan Azizulhasni yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang sukan.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan replika kad akses suite kediaman di Trion 888 kepada Azizulhasni atau lebih dikenali dengan panggilan Jijoe.

Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Naza TTDI Sm Nasarudin Sm Nasimuddin.

Suite kediaman di Trion 888 dengan harga RM350,000 yang terletak di Equine Park, Seri Kembangan merupakan projek pembangunan Naza TTDI Sdn Bhd dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Sebelum ini, pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romli turut menerima suite kediaman di Trion 888.

Sementara itu, Azizulhasni yang baru tiba dari Melbourne pagi tadi berterima kasih kepada perdana menteri dan Kumpulan Naza kerana tampil memberi penghargaan dengan menghadiahkan imbuhan tersebut.

“Saya rasa amat bersyukur. Sebelum ini, saya telah dimaklumkan ada majlis penghargaan daripada perdana menteri. Saya sudah cukup terharu dan gembira.

“Apabila saya mengetahui perdana menteri akan menyampaikan sebuah suite kediaman bagi pihak Naza, perasaan saya bercampur baur.

“Saya berasa emotional dan pada masa yang sama begitu gembira kerana bagi kita atlet yang berusaha keras selama ini tidak pernah mengharapkan pengiktirafan besar sebegini,” katanya.

Bagi Azizulhasni, beliau berkata untuk mencapai ke peringkat elit dalam bidang sukan bukan perkara mudah malah banyak berkorban termasuk berada di Melbourne 10 tahun, meninggalkan keluarga, ibu dan ayah selain menghabiskan usia muda di sana.

“Apa yang penting ialah kita dapat menginspirasikan generasi muda dalam bidang sukan.

“Sebagai ikon sukan negara, bersama jaguh-jaguh sukan lain seperti Datuk Lee Chong Wai dan Datuk Nicol David, saya mahu terus menginspirasi generasi muda agar bergiat dalam bidang sukan.

“Kita percaya kita boleh jadi juara dunia. Walaupun kita negara kecil, kita sebenarnya boleh menjadi kuasa besar tidak kira dalam apa jua bidang,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");