KUCHING – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengkaji peraturan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi membuka peluang lebih luas kepada semua peringkat masyarakat untuk menyertainya.
Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berkata pihaknya akan menjadikan penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Perak yang memberi laluan kepada sesiapa sahaja untuk menyertainya, sebagai contoh kajian peraturan tersebut.
“Di Perak tidak ada peringkat daerah, untuk beri ruang kepada semua rakyat sertai hanya ada tilawah peringkat negeri sahaja. Ini bermakna tilawah memberi peluang kepada semua rakyat dalam peringkat mana pun untuk terus sertai tilawah peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Mahrajan Amal Islami Saudara Kita Peringat Kebangsaan 2017 di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Mufti Sarawak Datuk Kipli Yassin.
Mahrajan Amal Islami Saudara Kita adalah program latihan khusus untuk membudayakan kehidupan harian saudara baharu ke arah Tarbiah Islam yang syumul.
Ketika ditemui pemberita, Othman berkata kajian peraturan tersebut akan memberi manfaat kepada penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan.
“Kajian untuk mengubah peraturan ini perlu untuk beri peluang secara keseluruhan. Sebagai contoh sekarang ini banyak penganjuran tilawah pada peringkat maktab, universiti dan badan beruniform, untuk ke peringkat negeri mereka harus masuk peringkat daerah dahulu.
“Perak sudah mula memberi ruang secara terbuka, maknanya ada satu majlis biarpun penganjuran akan memakan masa banyak hari tidak apa, yang terbaik akan dipilih mewakili negeri tersebut,” katanya.
Ketika ditanya tempoh masa kajian itu akan dilakukan, Othman berkata perkara tersebut akan mengambil sedikit masa untuk pihaknya melihat secara keseluruhan sebelum peraturan baharu dilaksanakan lapor Bernama.