Isu Panas

Jangan Jadikan Pelajar Sebagai Tikus Makmal

SHAH ALAM – PKR hari ini membidas kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mahukan sekolah aliran Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan di negara ini.

Pengerusi Biro Integrasi Nasional PKR, Datuk Seri R Santhara Kumar berkata, kenyataan Khairul itu seolah ingin menjadikan pelajar seperti ‘tikus makmal’ dengan pelbagai perubahan dasar pendidikan yang ada di negara ini.

Beliau dalam masa sama turut mempersoalkan sama ada kenyataan itu dibuat semata-mata untuk memancing undi menjelang PRU akan datang.

“Kenyataan seumpama ini adakah hanya sekadar untuk memberi harapan kepada pengundi bangsa tertentu pada PRU akan datang?

“Saya bercakap bukan sebab tidak suka akan Bahasa Inggeris tetapi kita mesti bersikap realistik.

“Dasar pendidikan negara ini seperti makmal uji kaji, setiap kali portfolio menteri pendidikan bertukar dan pada masa itu jugalah polisi baru ditukar. Pelajar-pelajar di sekolah ini seperti ‘tikus makmal’ dibuat oleh kerajaan BN,” katanya menerusi kenyataan hari ini memetik laporan Sinar Harian.

Khairul Azwan pada dialog Transformasi Negara 2050 (TN50) dengan kumpulan pendidikan baru-baru ini berkata beliau secara peribadi menyokong inisiatif supaya lebih banyak sekolah Inggeris ditubuhkan di Malaysia.

Menurut Santhara lagi, sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan wujud di negara ini melainkan berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

Beliau berkata apa yang perlu dilakukan adalah memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan dan pada masa yang sama penguasaan Bahasa Inggeris terus dipertingkatkan.

Sebagai contoh, katanya lagi, kerajaan seharusnya menyediakan skim kelas tambahan untuk pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris.

“Dasar diskriminasi Umno BN dengan menyediakan tenaga pengajar dan pelajar yang hanya mengikut kaum tidak akan dapat membantu menyelesaikan permasalahan pendidikan di negara ini.

“Tambahan pula, bajet pendidikan yang dipotong saban tahun menyebabkan ramai di antara pelajar cemerlang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat seterusnya. Ini sesuatu yang rugi buat negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");