Perak Hari Ini

Jangan Sesekali Membenci Guru: MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menasihati golongan pelajar agar tidak sesekali membenci guru-guru yang mendidik mereka sejak di bangku sekolah lagi.

Menurut beliau, pelajar-pelajar harus sedar akan betapa murninya didikan yang telah diberikan oleh guru dalam menjadikan mereka seorang insan yang berjaya dan berguna di masa hadapan.

“Kita semua yang berjaya pada hari ini, pada asasnya pernah menjadi seorang pelajar dan mungkin ada dikalangan pelajar yang mempunyai rasa benci dengan guru-guru tetapi ingat, inilah manusia yang keluarkan kita dari kegelapan dan memberi cahaya, itu lah tugas seorang guru iaitu mendidik kita.

“Saya tahu, jiwa orang muda yang kadangkala ada rasa tak sukakan cikgu tetapi ingatlah tanpa cikgu-cikgu ini siapa anda di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari Guru di SMK Dato’ Ahmad Said, disini, hari ini.

Zambry dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada para guru dalam usaha untuk melahirkan generasi berilmu dan berguna di masa hadapan.

Sambil mengimbau kenangan sebagai pendidik, Zambry turut menceritakan bahawa beliau telah menemui bekas pelajarnya ketika bergelar pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa suatu ketika dahulu.

“Saya cuba imbas balik, kerana ianya sudah lebih 30 tahun, saya mengajar mereka subjek dipanggil ‘General Studies’ untuk pelajar matrikulasi di UIA waktu itu dan mereka merupakan pelajar saya ketika itu.

“Saya tidak menyangka kedua-dua pelajar saya ini menjadi guru di sekolah ini. Jadi guru-guru ini sebenarnya memiliki latar belakang yang hebat sebenarnya tetapi mereka memilih profession sebagai seorang guru,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");