TANJUNG MALIM: Kira-kira 1,500 peminat berbasikal dan rakyat Malaysia yang cintakan alam sekita telah mengambil bahagian dalam acara berbasikal “Jom Kayuh Mesra Alam” semalam.
Acara yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran bersama PROTON Holdings Bhd PROTON dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (BMMB) yang telah berlangsung di PROTON City di Tanjung Malim.
Menurut satu kenyataan media, penyertaan bagi acara ‘fun ride’ yang dibuka sejak 22 April lalu telah menarik minat peserta dalam 3 kategori iaitu 15km dan 30 kilometer serta kategori 800 meter bagi kanak-kanak di mana mereka boleh menunggang basikal di sekitar trek stadium.
“Apabila Bank Muamalat mengajukan idea untuk menggunakan kawasan persekitaran kami di Tanjung Malim bagi acara berbasikal, kita terus bersetuju dengan idea tersebut kerana kami tahu terdapat ramai pengikut berbasikal di Malaysia tetapi tidak banyak penganjurannya dilakukan di luar KL atau Selangor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuuad Kenali.
“Bagi PROTON sendiri ia merupakan sumbangan kepada masyarakat dengan menyediakan peluang kepada komuniti di Tanjung Malim untuk turut serta dalam acara ini di samping memberi ruang kepada semua peminat berbasikal yang bukan berasal dari Tanjung Malim untuk menikmati pemandangan hijau yang sangat luas di sini,” katanya.
Turut memeriahkan program kehadiran selebriti tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search untuk turut berbasikal bersama para peserta yang lain.
“Acara ini turut menyediakan suasana seperti karnival mini, menjadikan ia sesuai bagi seisi keluarga untuk meluangkan masa bersama-sama,” katanya.
Karnival menyediakan pelbagai aktiviti disediakan untuk dinikmati oleh seluruh ahli keluarga yang turut serta dan pelbagai hadiah juga telah diberikan kepada pemenang bertuah, seperti pakej percutian, aksesori berbasikal, hamper dan barangan elektrik.
“Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk membuat penganjuran bersama Bank Muamalat sebagai salah sebuah syarikat dalam Kumpulan DRB-HICOM.
“Bukan sahaja kita dapat menarik penyertaan orang ramai untuk acara ini, tetapi kita juga dapat menggalakkan kakitangan daripada kumpulan DRB-HICOM untuk melibatkan diri dalam melakukan aktiviti yang menjurus kepada gaya hidup yang sihat,” katanya.
Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, “Jom Kayuh Mesra Alam oleh PROTON-Bank Muamalat ini merupakan penganjuran berbasikal pertama yang pernah diadakan bersama PROTON.
“Kami berharap agar acara ini akan menjadi acara tahunan, melihat kadar kejayaan tahun ini. Seiring dengan objektifnya iaitu untuk menggalakkan amalan gaya hidup yang sihat, kita percaya yang acara ini dapat menarik perhatain pelbagai kumpulan penunggang basikal yang serius, penunggang yang suka bersantai serta ahli keluarga dan kanak-kanak,”katanya.