SEREMBAN – Seramai 667 individu melibatkan penganjur dan pemain ditahan dalam serbuan cegah judi siber ke atas 131 premis bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, berbanding 113 individu bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias berkata peningkatan itu disebabkan oleh aktiviti pemantauan dan serbuan berterusan yang dilakukan Pasukan Petugas Perjudian Siber (PPPS) negeri bagi mencapai hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sifar perjudian siber di negeri ini.
“Pemantauan dan serbuan kami juga meningkat sekali ganda bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini iaitu sebanyak 2,658 berbanding 1,321 bagi tempoh sama tahun lepas dan dari segi rampasan komputer juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1,669 unit pada tiga bulan pertama tahun ini berbanding 343 unit bagi tempoh sama tahun lepas.
“Ini bermakna usaha kita dalam memerangi kegiatan perjudian siber ini lebih berganda dan memberikan impak positif dan jumlah operasi dan tangkapan pada tahun ini meningkat adalah disebabkan tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif dilakukan oleh PPPS yang dianggotai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata bagi tempoh yang sama tahun ini, empat daerah di negeri ini iaitu Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan Rembau diisytiharkan bebas daripada sebarang kegiatan perjudian siber.
“Empat lagi daerah iaitu Seremban, Nilai, Port Dickson dan Jempol masih terdapat kegiatan itu dengan Seremban mencatatkan jumlah tertinggi serbuan dan pemantauan ke atas premis perjudian iaitu 1,269 serbuan, Nilai, 819 serbuan, diikuti Port Dickson dengan 432 serbuan dan Jempol, 111 serbuan.
“Pun begitu, penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dan perhebatkan. Pada Julai lepas, melalui mesyuarat Exco telah putuskan untuk menjadikan Negeri Sembilan sifar perjudian siber, jadi kami akan peranginya habis-habisan,” katanya.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata bagi tempoh yang sama tahun ini, sebanyak 57 premis di Seremban, Nilai, Port Dickson dan Jempol telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan utiliti dan penamatan lesen perniagaan dengan 58 kes telah pun dituduh di mahkamah.
“41 kes lagi sedang dalam siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) Negeri Sembilan 1988,” katanya.
Beliau berkata, langkah kerajaan dalam menyenaraihitamkan premis yang digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian siber daripada mendapatkan lesen perniagaan untuk tempoh satu hingga tiga tahun bermula Julai tahun lepas mendapat kesan positif dan menyumbang kepada penurunan drastik bilangan premis judi siber di negeri ini. – Bernama