Sukan Hari Ini

KAFA Lepaskan Ghaddar Ke JDT

SHAH ALAM: Penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar sah menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan perpindahan yang dipercayai membabitkan bayaran paling tinggi dalam sejarah bola sepak tempatan.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersetuju melepaskan pemain berusia 33 tahun dari Lebanon itu pada jendela perpindahan kedua yang dibuka semalam, sebaik JDT melengkapkan dokumen yang diperlukan serta bayaran perpindahan yang dipersetujui.

Naib Presiden KAFA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menegaskan perpindahan akan berkuat kuasa serta-merta sebaik mereka menerima dokumen dan bayaran yang menurutnya merupakan tertinggi dalam sejarah bola sepak tanah air.

“Berapa bayaran perpindahan saya tidak boleh umumkan kerana KAFA dan JDT telah bersetuju untuk tidak mendedahkan perkara berkenaan. Ini merupakan tawaran ketiga yang diterima KAFA dari JDT berhubung niat mereka mendapatkan Ghaddar,” katanya dalam sidang akhbar berhubung isu berkenaan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Nasir, masalah kewangan bukan merupakan punca utama KAFA melepaskan penyerang import itu kepada JDT.

Katanya jika dilihat melalui tulisan pemain itu di laman sosial, Ghaddar sendiri sudah tidak berminat untuk bermain bersama Kelantan, justeru tiada guna bagi KAFA menghalangnya daripada berhijrah ke pasukan lain.

“KAFA juga telah mengenal pasti beberapa calon pemain dari Asia Tengah bagi mengisi kekosongan kuota pemain import dari Asia berikutan penjualan Ghaddar,” katanya.

Ghaddar merupakan penjaring terbanyak Liga Super dengan 18 gol selepas 12 perlawanan.

Ditanya jika terdapat pemain lain bakal meninggalkan pasukan The Red Warriors pada jendela perpindahan pemain bulan ini, Muhammad Nasir berkata pihaknya ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain yang berminat dengan pemainnya, namun, tiada perbincangan lanjut dijalankan.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat sebarang perjanjian antara KAFA dan JDT, beliau berkata ia tidak timbul malah KAFA memberi kebebasan kepada JDT untuk menurunkan Ghaddar jika menentang Kelantan dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.

JDT sebelum ini meletakkan perjanjian dengan beberapa pemainnya yang berpindah ke pasukan lain di mana mereka tidak boleh diturunkan menentang JDT.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");