PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak akan terburu-buru membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan penyerang import mereka, Alessandro Celin bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor sebaliknya berkata, pihaknya masih dalam proses menilai tahap kesihatan penyerang import Brazil itu sebelum memutuskan kedudukannya pada jendela perpindahan kedua, pertengahan bulan ini.
“Kita tidak boleh buat keputusan berdasarkan satu perlawanan sahaja. Tidak adil untuk berbuat demikian walaupun Celin beraksi dengan baik ketika bertemu Pahang.
Akhbar ini semalam melaporkan, Celin yang keluar daripada belenggu kecederaan paha jangka panjang beraksi cemerlang membantu The Red Warriors menewaskan Pahang 3-2 pada aksi Liga Super di Kuantan, Sabtu lalu.
Malah penyerang berusia 28 tahun itu yang diberi peluang terakhir memilih detik paling sempurna ketika bertemu skuad Tok Gajah apabila bukan sahaja beraksi selama 90 minit malah turut menyumbang satu gol pada pertemuan derby pantai timur itu.
Sebelum ini, Celin berada diambang penyingkiran dan bakal digantikan Sanna Nyassi dari Gambia yang dibawa masuk selaku calon pemain import baharu pasukan itu.
Menurutnya lagi, Kafa akan berbincang dengan barisan kejurulatihan terlebih dahulu sebelum memutuskan masa depan Celin bersama skuad pantai timur itu.
“Kita akan duduk bersama ketua jurulatih (Zahasmi Ismail) dan pengarah teknikal (Alfredo Gonzales) kerana pandangan mereka amat bernilai sebelum Kafa buat keputusan nanti.
“Memandangkan pendaftaran kedua pemain masih panjang, kita tidak mahu tergesa-gesa. Apa pun keputusan yang dibuat Kafa nanti, itu adalah demi meningkatkan kembali prestasi pasukan,” katanya.
Dalam masa sama, tegas beliau, pihaknya juga tidak akan menilai keupayaan Nyassi bersandarkan prestasi dipamerkan pemain itu dalam sesi latihan sahaja.
“Dia akan dinilai dalam perlawanan kompetitif iaitu bertemu PKNS FC di Shah Alam, 13 Mei ini, selain satu lagi aksi persahabatan yang kita akan aturkan selepas itu,” katanya.