Berita Hari Ini

Keganasan Di Selatan Thailand Tak Halang Proses Damai – Kerajaan

BANGKOK: Kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya insiden pengeboman sebuah pasar raya di Pattani, selatan Thailand semalam tetapi menyatakan kejadian itu tidak menghalang proses damai yang sedang diusahakannya dengan sebuah badan induk yang mewakili kumpulan militan di wilayah-wilayah bergolak itu.

Pasar raya itu, yang sibuk dengan pelanggan ketika kejadian, diserang dengan letupan dua bom kira-kira 2.30 petang waktu tempatan, menyebabkan 69 orang termasuk beberapa kanak-kanak cedera.

“Kerajaan menegaskan bahawa ia akan meneruskan proses damai itu dan berusaha untuk melakukan semua yang termampu untuk mengembalikan keamanan di selatan Thailand,” kata jurucakap kerajaan Lt Jen Sansern Kaewkamnerd dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pihak yang melakukan serangan itu telah bertindak ”dengan amat ganas dan kejam”.

Sejak lebih setahun lepas, Thailand mengadakan proses damai dengan Mara Patani (Majlis Perundingan Patani), dengan Malaysia berperanan sebagai fasilitator, untuk menamatkan konflik berpanjangan itu yang telah meragut lebih 6,000 nyawa setakat ini.

Baru-baru ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan ”Zon Keselamatan” di selatan Thailand, walaupun butir-butir perjanjian itu masih di peringkat perbincangan.

Sansern berkata kerajaan juga akan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di selatan negara itu bagi menghindari kejadian tidak diingini dan meminta kerjasama orang ramai untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa.

Di PATTANI, gabenor wilayah itu Wiranan Chanpen berkata jumlah mangsa yang cedera dalam kejadian pengeboman semalam meningkat kepada 69 orang daripada 52 orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Turut cedera dalam pengeboman itu ialah 21 lelaki dan 40 wanita, katanya sambil memberitahu semua mangsa adalah pelanggan dan pekerja pasar raya itu.

“Seorang daripada tiga mangsa yang kritikal adalah seorang kanak-kanak perempuan dan mereka sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Songkla Nakharin,” kata Wiranan dalam kenyataan.

Malam tadi, wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) di Thailand turut mengutuk kejadian itu.

Sementara itu, Pemerintah Tentera Wilayah Keempat Lt Jen Piyawat Nakwanich berkata trak yang digunakan dalam satu daripada serangan bom di pasar raya itu dimiliki peniaga khemah di Yala, Nai Nuson Khajondam.

Menurutnya pasukan keselamatan menyerbu rumah Nai Nuson selepas insiden pengeboman itu tetapi gagal menemuinya dan isteri lelaki itu memberitahu bahawa dia meninggalkan rumah semalam selepas menerima panggilan untuk memasang khemah di sebuah masjid di Pattani.

“Dia memberitahu bahawa itulah kali terakhir dia melihat suaminya dan gagal menghubunginya sejak itu,” katanya hari ini.

Beliau berkata wanita itu memberitahu bahawa dia hanya mengetahui yang trak milik suaminya telah digunakan dalam pengeboman itu, menerusi media.

Tinjauan Bernama di pasar raya itu yang terletak di daerah Muang, Pattani mendapati kawasan itu dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dengan anggota-anggota pasukan forensik dan pasukan Pelupusan Kelengkapan Bahan Letupan (EOD) sedang mencari bahan bukti.

Pasar raya itu, yang 90 peratus pekerjanya adalah penduduk tempatan, ditutup sehingga 1 Jun ini untuk kerja-kerja pembaikan, telah diserang dua kali pada 2005 dan 2012.

Sehingga kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab bagi kejadian semalam.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");