Berita Hari Ini

KP1M Terus Terap Semangat Kesukarelawanan Kepada Generasi Muda – Abdul Azeez

KUALA LUMPUR: Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) yang wujud atas dasar menjadikan UMNO sebuah parti bersifat lebih inklusif, akan terus menerapkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Presidennya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata KP1M yang lahir melalui Biro Putera UMNO di bawah Pergerakan Pemuda, bersedia untuk terus merancakkan gerak kerja melahirkan lebih banyak sukarelawan tanpa mengira agama, bangsa mahupun perbezaan fahaman politik.

“Budaya tolong-menolong diamalkan dalam UMNO jauh melebihi apa-apa sempadan warna politik terutama apabila berlaku sebarang bencana alam yang memerlukan tindakan segera kita menghulurkan bantuan.

“Ahli UMNO khususnya generasi muda terus dilatih untuk menjiwai budaya kesukarelawanan dengan mendekati mereka yang memerlukan bantuan secara konsisten. Inilah didikan yang wujud sekian lama menerusi Biro Putera UMNO yang menjadi asas kepada KP1M,” kata Abdul Azeez yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO dalam temu bual dengan Bernama sempena Ulang Tahun UMNO ke-71 yang akan disambut pada 11 Mei.

Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata beberapa misi kemanusiaan yang berjaya dilaksanakan oleh KP1M dan Biro Putera UMNO membuktikan parti itu tetap teguh selama tujuh dekad dalam memperjuangkan bangsa di negara ini.

Misi kemanusiaan yang pernah dijalankan oleh KP1M termasuklah misi menyelamatkan rakyat Malaysia di luar negara apabila berlaku bencana serta misi kemanusiaan di dalam mahupun luar negara.

“Kita sudah berjaya laksanakan misi kemanusiaan di lebih 40 negara, antaranya di Indonesia, Somalia, Jepun, Pakistan, Australia dan Mesir,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata kejayaan paling manis dalam melaksanakan misi menyelamat oleh KP1M adalah semasa mereka berjaya membawa pulang 7,241 pelajar Malaysia ke tanah air melalui Ops Piramid ketika berlaku ketegangan politik di Mesir.

“Ini antara contoh misi-misi besar yang telah kita jalankan tidak terkecuali terbaharu, Food Flotilla for Myanmar awal tahun ini serta misi keamanan di Somalia pada 2011 yang turut mengorbankan seorang petugas media, Noramfaizul Mohd Nor dari Bernama TV (sekarang dikenali sebagai BNC),” kata Abdul Azeez.

Bercakap mengenai hala tuju KP1M dalam menyemarakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda, Abdul Azeez berkata KP1M akan terus agresif dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan di dalam dan luar negara tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO selalu menasihati saya supaya jangan mengamalkan budaya pilih kasih dalam melakukan kebajikan dan saya pegang teguh amanah itu,” katanya

Beliau berkata KP1M akan melakukan yang terbaik dalam usahanya untuk terus menyemarakkan budaya kesukarelawanan dan kebajikan selaras dengan aspirasi Presiden UMNO dan slogan 1Malaysia iaitu ”Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

“Saya sebagai ahli parti akan terus berjuang untuk kelangsungan hidup rakyat tanpa mengira latar belakang sesiapa dalam usaha menjadikan UMNO disenangi oleh kawan dan pihak lawan,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");