Berita Hari Ini

KPDNKK Kelantan Tawar Jualan Minyak Masak Terus Dari Kilang

PASIR PUTEH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan menyediakan sejumlah 140 tan metrik minyak masak bersubsidi dari kilang untuk dijual terus kepada pengguna di seluruh negeri ini untuk kegunaan Ramadan.

Pengarahnya Datuk Ab Ghani Harun berkata langkah tersebut bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan minyak masak bersubsidi pada harga lebih murah iaitu RM2.50 bagi satu kilogram dengan pembelian tanpa had.

“Ini merupakan salah satu program kerjasama KPDNKK dan pembungkus tempatan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang sekali gus menepis dakwaan berlaku kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini terutama menjelang bulan puasa,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Minyak Masak Terus Dari Kilang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki .

Ab Ghani berkata program tersebut akan diadakan selama lima hari bermula hari ini hingga Khamis (19 Mei) dengan purata jualan minyak lima hingga 10 tan metrik di setiap jajahan.

“Orang ramai boleh mendapatkan bekalan minyak masak dengan harga lebih murah ini di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata KPDNKK Kelantan akan melaksanakan fasa kedua program sama dalam minggu pertama Ramadan bagi keperluan menyambut Aidilfitri pula.

“Langkah ini juga bagi mengekang ketirisan bekalan minyak masak yang diseludup ke negara jiran,” katanya.

Sementara itu katanya orang ramai tidak perlu bimbang terhadap bekalan minyak masak untuk bulan Ramadan dan Aidilfitri kerana bekalan mencukupi dengan kerjasama 18 pembungkus dan pemborong.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");