Berita Hari Ini

MOSTI Cadang Penubuhan Majlis Selaraskan Piawaian – Menteri

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bercadang menubuhkan sebuah majlis bagi menyelaraskan pembangunan dan pelaksanaan standard secara menyeluruh di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata majlis itu, yang melibatkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi swasta dan persatuan pengguna, akan bertindak sebagai badan yang memastikan standard seperti Standard Malaysia oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Halal Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilaksana dengan berkesan.

Beliau berkata majlis itu juga memainkan peranan penting sebagai medium kerjasama antara pihak berkepentingan membabitkan 22 agensi persijilan standard antaranya SIRIM dan JAKIM bagi memastikan standard itu bertepatan dengan keperluan rakyat dan dasar kerajaan selain menjadikan standard di negara ini lebih diyakini.

“Penubuhan (majlis itu) perlukan sedikit masa sebelum dimuktamadkan. Apabila ditubuhkan kelak, ia akan menjadikan ekosistem standard negara lebih mantap dan kukuh yang akhirnya dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk sesuatu standard, memupuk kepercayaan terhadap produk buatan kita sendiri,” katanya pada sidang berita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Program Pertengahan Tahun Metrologi Asia Pasifik di Bandar Hilir di sini. Turut hadir Pengerusi program itu Dr Toshiyuki Takatsuji dan Presiden Forum Undang-undang Metrologi Asia Pasifik Stephen O”Brien.

Seramai 68 peserta dari 15 negara termasuk Fiji, Bangladesh dan Malaysia menghadiri mesyuarat tujuh hari itu yang bermula semalam yang dianjurkan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia dan SIRIM.

Madius berkata pihaknya tidak bercadang menjadikan standard itu sebagai wajib diperoleh setiap pengeluar produk dan penyedia perkhidmatan di negara ini.

“Standard bukan sesuatu perkara yang wajib diperoleh setiap pengeluar atau penyedia sebaliknya ia dilakukan secara sukarela. Namun, ia adalah satu nilai tambah yang dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan itu,” katanya.

Beliau berkata penubuhan majlis itu dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya standard dalam kalangan rakyat selain manfaat yang diperoleh mereka apabila menggunakan produk atau mendapatkan perkhidmatan yang diperakui sesuatu standard.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");