Berita Hari Ini

N.Sembilan Contoh Pembangunan TN50 – Khairy

PORT DICKSON: Negeri Sembilan bakal menjadi negeri contoh kepada pembangunan Transformasi Nasional 2050 (TN50) menerusi pelaksanaan Malaysia Vision Valley (MVV), kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata MVV yang merupakan pembangunan metropolis bertaraf antarabangsa, sudah pastinya mampu menyediakan prasarana dan kemudahan yang terbaik kepada masyarakat di negeri ini khususnya dan Malaysia amnya.

“MVV adalah pembangunan yang nanti boleh dibanggakan oleh rakyat Negeri Sembilan,” katanya pada siri dialog TN50 peringkat Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Berucap di hadapan 1, 400 hadirin, Khairy yang bertindak sebagai moderator siri dialog berkenaan, berkata MVV adalah contoh projek futuristik yang mampu menjana pendapatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata MVV yang meliputi kawasan seluas 153,000 hektar merangkumi Seremban dan Port Dickson, akan dibahagikan kepada lima kluster strategik iaitu ”Central Business District”, ”Nature City”, ”Edu-Tech Valley,” ”Tourism and Wellness” serta ”New Liveable Township”.

Selain itu, beliau berkata pembangunan MVV juga akan dilengkapi dengan jaringan sistem pengangkutan tercanggih seperti trem, MRT, LRT dan Express Rail Link (ERL) bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan yang terbaik.

“Kita telah lihat bahawa penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup sebahagiannya adalah pengangkutan awam yang mana kita terpaksa membeli kereta melalui sewa beli, membayar tol dan minyak.

“Sebanyak 40 peratus kos sara hidup adalah kerana pengangkutan awam, ” katanya.

Mengenai Port Dickson, Mohamad berkata sebuah lebuh raya dirancang untuk dibina menghubungkan daerah itu dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Port Dickson, kita akan tambak laut di kawasan berlumpur (Lukut) di kawasan seluas 6,000 ekar untuk kita wujudkan satu perbandaran baharu dan akan wujudkan lebuh raya Port Dickson-KLIA serta komuter dari Seremban-Port Dickson akan dihidupkan semula dengan penambahan lima stesen yang akan dibuat secara pembiayaan swasta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MVV yang merupakan pembangunan terancang dan inklusif akan memberi faedah besar kepada masyarakat.

TN50 yang dilancarkan pada 19 Jan lepas, digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");