Berita Hari Ini

Najib Buka ‘Rahsia’… Pak Lah ‘Political Son’ Tun Razak

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membuka rahsia diri apabila mengatakan Tun Abdullah Ahmad Badawi sentiasa tersemat di hatinya sebagai seorang abang, teman rapat dalam susah dan senang, serta yang paling penting, antara insan yang sangat mulia hatinya, yang pernah dikenalinya.

Bercakap pada majlis perasmian Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya, Khamis, Najib juga berkata dia menghormati Tun Abdullah sebagai seorang pemimpin yang cenderung mengangkat martabat Islam dan golongan agamawan.

Katanya jasa, sumbangan, khidmat bakti dan pengorbanan Tun Abdullah terlalu banyak. Malah Najib menganggap Tun Abdullah sebagai negarawan budiman, setia lagi terbilang.

“Saya ingin memberikan satu penghormatan kepada Tun Abdullah, Perdana Menteri Malaysia kelima, yang juga Presiden UMNO keenam, yang telah mencurah bakti, mengkhidmati rakyat dengan penuh tekad sejak 1964, yang bermula sebagai seorang pentadbir di sektor perkhidmatan awam.

 “Bagi pihak diri ini dan keluarga, saya ingin memberikan penghargaan atas jasa serta pengorbanan Tun Abdullah, khususnya ketika beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) bagi membantu ayahanda saya, Tun Abdul Razak sebagai ketuanya di saat negara telah diuji dengan tragedi hitam rusuhan kaum pada 1969.

“Hinggakan Pak Lah sendiri pernah menyebut kepada saya bahawa, “You are the biological son of Tun Razak. I am his political son.”

“Saya ingin menghargai kesetiaan Tun Abdullah selama ini. Walau apapun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama saya, pihak Kerajaan, parti UMNO dan Barisan Nasional serta tidak sesekalipun beliau terfikir atau ingin membuat sesuatu tindakan untuk mengkhianati parti.”

Najib berkata di segi peribadi, Tun Abdullah memanggilnya “brother”.

Namun baginya Tun Abdullah adalah sahabat yang sebenar lagi sejati, kerana tetap setia, sanggup bersamanya dan Kerajaan sama ada ketika senang mahupun susah, waima dalam situasi yang getir lagi bergelora.

“Bahkan, lebih menyentuh dan mengharukan saya, betapa tingginya nilai kasih sayang Tun Abdullah kepada parti serta Negara, sebagai pemimpin besar lagi berjiwa mulia, apabila sanggup menyerahkan tapuk kepimpinan tertinggi UMNO serta jawatan Perdana Menteri Malaysia kepada saya, dengan penuh tertib dan kemuliaan tradisi parti.

“Di atas segalanya itu, secara jujur lagi ikhlas, saya ingin mengucapkan Terima Kasih Pak Lah. Terima Kasih Banyak-Banyak. Semoga Allah juga yang membalas budi baik Pak Lah,” kata Najib dalam nada menahan sebak.

Najib berkata dia sering teringat kata-kata Tun Abdullah sewaktu dalam kepimpinannya – Bekerja bersama saya, bukan untuk saya demi menjadikan Malaysia yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

“Memang benar, dalam sebarang organisasi dan perjuangan, bak kata bijak pandai, if you want to go fast, you go alone. But if you want to go far, you go together.”

Pada akhir ucapannya Perdana Menteri mengumumkan peruntukan dana awalan RM5 juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");