Berita Hari Ini

Pekerja asing: Majikan Perlu Lebih Bertanggungjawab

SHAH ALAM: Majikan diharap lebih bertanggungjawab dan menyahut seruan kerajaan berkenaan isu pengambilan tenaga kerja asing.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, kerjasama semua pihak berkaitan penting supaya Malaysia tidak dilabelkan sebagai negara tumpuan pekerja haram.

“Perkara ini telah lama diperjuangkan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri tetapi nampaknya ia tidak dapat kerjasama majikan dan pekerja,” katanya.

Beliau meminta majikan lebih peka, bertanggungjawab, menerapkan semangat nasionalisme dan patriotisme dalam urusan berkaitan pekerja asing berdokumen.

Abdul Halim juga mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak berkaitan sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.

Beliau berkata, Hari Pekerja bukan sahaja diraikan dengan cuti umum, tetapi untuk mencari penyelesaian bagi mengukuhkan produktiviti sumber tenaga yang begitu penting dalam pembangunan negara.

“Saya sarankan pekerja dan majikan utamakan kesihatan dan keselamatan. Peranan majikan dituntut dalam menjayakan usaha ini kerana rakyat Malaysia hari ini, kuat bekerja dan makan.

“Rakyat Malaysia kadang-kadang bekerja melebihi 12 jam. Kita faham semua itu dibuat disebabkan ekonomi negara tidak menentu, tetapi kesihatan jangan diabaikan.

“Jadi majikan perlu prihatin agar kesihatan yang baik menjadi budaya kepada pekerja di negara ini,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Malah majikan perlu kreatif dalam memastikan kebajikan pekerja terjamin.

Beliau memberi contoh langkah CIMB Group memperuntukkan kira-kira RM1 bilion untuk pinjaman perumahan dengan faedah sifar peratus kepada warga kerjanya yang berpendapatan bawah RM3,500, bagi nilai kediaman tidak melebihi RM250,000 mulai hari ini.

Menurut Abdul Halim, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diharap mencontohi inisiatif itu.

“Saya berpandangan, selain kita simpan di KWSP, institusi ini harus lebih kreatif kepada pencarum.

“Kita boleh buat program bersama Majlis Perumahan Negara, atau beri kelayakan kepada pekerja yang lebih 20 tahun tidak guna apa-apa skim kemudahan, terutama kediaman,” katanya.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan agar pertimbangkan wakil kesatuan pekerja berada dalam Majlis Perumahan Negara dan di Dewan Negara.

“Pihak lain tidak boleh bercakap bagi pihak pekerja, kecuali kalangan pekerja itu sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");