Jenayah

Pelajar Tahun Akhir Ditahan Edar Dadah

PARIT – Polis menahan seorang pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan sebuah universiti swasta kerana dipercayai mengedar dadah di Seri Iskandar, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Suptritendan Mohamad Zainal Abdullah berkata pelajar berumur 21 tahun itu ditahan pada 6.30 petang bersama 26 plastik berisi dadah dipercayai jenis ganja di kawasan kolej kediaman universiti tersebut.

Katanya kesemua dadah seberat 248 gram itu dianggarkan bernilai RM1,700, dipercayai untuk dijual kepada pelajar universiti berkenaan termasuk pelajar asing.

“Semasa ditahan pelajar  itu cuba melarikan diri serta bertindak membuang bungkusan dadah bersamanya namun berjaya ditahan polis.

“Suspek yang dijangka menamatkan pengajian dua bulan lagi itu terlibat dengan kegiatan ini sejak dua tahun lepas, namun pengedar utama yang membekal dadah kepadanya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjual dadah itu RM50 sepaket dan dipercayai hidup mewah dengan menikmati hasil lumayan jualan dadah tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif ganja.

Polis turut menahan seorang rakan suspek berumur 20-an yang juga bekas pelajar universiti itu kerana didapati juga positif dadah jenis ganja.

“Rakannya kebetulan ada di bilik suspek kerana ingin mengambil sijilnya,” katanya.

Beliau berkata pelajar tahun akhir itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman sejak ditangkap hingga 31 Mei ini, manakala rakannya disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 serta direman empat hari hingga esok.

Mohamad Zainal turut memberi amaran pihaknya akan mempergiat pemeriksaan bagi mengatasi masalah dadah dalam kalangan pelajar.

“Dalam masa sama, pihak pengurusan perlu lebih peka bagi mengelak gelombang dadah mempengaruhi pelajar terutama di universiti,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");