Berita Hari Ini

Pemberi Maklumat Akan Dilindungi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikrar untuk melindungi individu yang melaporkan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sambil menggesa semua rakyat Malaysia untuk menjadi sekutu dalam memerangi rasuah, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad memberi jaminan bahawa semua pemberi maklumat akan dilindungi.

“Anda mesti berani untuk bangkit menentang rasuah kerana kami mahu memberi jaminan bahawa SPRM sentiasa menyokong dan berdiri di belakang anda. Ini termasuk komuniti perniagaan. Jika mereka lihat rasuah, mereka harus katakan ‘Tidak’.

“Pada masa sama, dekati SPRM supaya kami boleh mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya memetik laporan The Star sempena pelancaran kempen 3J yang bermaksud ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim (kompromi) dan Jangan Settle (selesai)’.

SPRM bekerjasama dengan Kumpulan Media Star bagi menjayakan kempen membanteras rasuah itu.

Kempen itu merupakan salah satu program di bawah Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (Gerah) yang dilancarkan di seluruh negara pada Isnin.

Dzulkifli berkata satu daripada matlamat utama beliau sejak dilantik sebagai ketua pesuruhjaya pada Ogos lalu adalah untuk menjalin ikatan erat antara SPRM dan masyarakat ibarat sebuah keluarga.

“Katakanlah dalam satu keluarga terdapat beberapa individu yang bekerja untuk SPRM. Jika ada satu insiden di mana seseorang meminta rasuah, sudah tentu, keluarga ini akan berani tampil dan membantu satu sama lain.

“Ini adalah sikap yang kami mahu wujudkan dalam rakyat Malaysia supaya mereka berani untuk katakan ‘tidak’ kerana ia keluarga mereka,” katanya.

Dzulkifli mengakui bahawa beliau berdepan tugas yang besar dan mencabar dalam mengubah persepsi orang ramai terhadap SPRM.

Berdasarkan laporan Barometer Rasuah Global (GBC( 2017) yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M) mendapati kebanyakan rakyat Malaysia tidak percaya terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani rasuah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");