Jenayah

Pencuri Bateri Kereta ‘Mengganas’ Di Puchong

PUCHONG – Kira-kira 1,000 penduduk Taman Mawar di Taman Kinrara 5, di sini, resah dengan kegiatan curi bateri kereta yang semakin berleluasa dipercayai dilakukan seorang lelaki sejak kebelakangan ini.

Lebih menarik, kereta yang baterinya dicuri tidak meninggalkan sebarang tanda kesan diceroboh termasuk kegagalan bunyi penggera dan ditinggalkan dalam keadaan seperti asal.

Bagaimanapun, kereta yang menjadi sasaran pencuri itu kebanyakan adalah kereta buatan tempatan yang dipercayai lebih mudah untuk dibuka bonet depan dengan cara menarik kabel di tayar depan.

Mangsa yang juga penduduk Taman Mawar, Abdul Majid Cheku Mohamed, 60, berkata, kegiatan itu dilakukan pada waktu tengah malam dan individu yang melakukannya adalah seorang yang sangat mahir.

Kejadian curi bateri kereta yang menimpanya itu turut berlaku kepada jirannya pada hari sama Februari lalu menyebabkan urusan harian mereka tergendala selepas pengangkutan mereka masing-masing tidak boleh berfungsi.

“Kami hairan apabila kedua-dua kereta kami tidak boleh dihidupkan. Apabila diperiksa kami terkejut apabila kedua-dua kereta sudah tiada bateri.

“Sudah 20 tahun saya tinggal di sini tetapi kejadian seperti ini tidak pernah berlaku. Namun sejak Disember tahun lalu, kes kecurian bateri kereta semakin berleluasa dan berlaku hampir setiap minggu,” katanya.

Menurut Abdul Majid, dia mengalami kerugian RM200 dan berharap pihak berkuasa kerap mengadakan rondaan di kawasan itu yang juga menjadi lokasi tumpuan pencuri tayar kereta dan jenayah ragut.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan penduduk Zon 12, Zaulkefli Ahmad berkata, sejak Disember tahun lalu, dianggarkan lima hingga enam kes berlaku setiap bulan dan perkara itu perlu dibendung segera.

“Bagaimanapun penduduk yang menjadi mangsa enggan membuat laporan polis kerana menganggap kes ini kecil dan tidak akan dilayan,” katanya. – myMetro Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");