Berita Hari Ini

Penurunan Pelancong AS Tidak Beri Kesan Besar

MELAKA – Penurunan ketibaan pelancong Amerika Syarikat ke Malaysia pada suku pertama tahun ini tidak memberi kesan besar kepada industri pelancongan negara secara keseluruhannya, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata, ia kerana industri pelancongan negara adalah luas dan mempunyai pelbagai segmen pelancongan yang dapat menampung pengurangan kedatangan pelancong negara itu ke Malaysia antaranya peningkatan pelancong dari China dan Timur Tengah.

“Penurunan itu tidak menjejaskan industri pelancongan negara kerana kita tidak hanya bergantung atau berharap pada kedatangan pelancong Amerika Syarikat semata-mata.

“Kita yakin ia (pelancong Amerika Syarikat) akan kembali meningkat pada suku kedua tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian ‘Shopping Raya Anak Yatim’ Parlimen Tangga Batu di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan kelengkapan menyambut Hari Raya termasuk pakaian baharu kepada 220 anak-anak yatim di Parlimen Masjid Tanah berjumlah RM43,600.

Semalam, Bernama melaporkan jumlah ketibaan pelancong dari Amerika Syarikat bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini turun 12.9 peratus kepada 52,237 orang berbanding bagi tempoh sama tahun lepas.

Mas Ermieyati berkata, kerjasama yang sedang diusahakan dengan KLM Royal Dutch Airlines bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong Amerika Syarikat ke Malaysia juga dijangka meningkatkan kembali jumlah kedatangan pelancong dari negara berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pemantauan dan tindakan agresif berterusan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menangani sebarang isu atau aktiviti keganasan pihak militan di negara ini memberi imej positif kepada pelancong luar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat untuk dilawati.

“Kita dapat lihat bagaimana KDN melalui agensi penguatkuasaan di bawahnya mengawal sebarang kejadian atau usaha kumpulan militan untuk mewujudkan suasana tidak aman di negara ini melalui beberapa tangkapan yang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada Mei lepas, Malaysia telah diiktiraf sebagai destinasi mesra Muslim nombor satu selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2011 menerusi laporan Global Muslim Travel Index (GMTI).

Katanya, pencapaian itu merupakan satu penghargaan kepada negara bagi industri pelancongan Islam dan ia bukan mudah untuk dikekalkan dalam tempoh tersebut. –Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");