Berita Hari Ini

Perkahwinan Dengan Warga Asing Diharuskan Untuk Elak Zina – Mufti Pahang

KUANTAN: Perkahwinan di antara rakyat tempatan dengan warga asing yang dilaksanakan mengikut kehendak hukum syarak khususnya di negeri ini, adalah diharuskan bagi mengelak berlakunya perkara yang bertentangan dalam agama Islam.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, dalam masa yang sama pasangan yang terlibat perlu membuat satu pengesahan yang diperakukan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya memudahkan urusan pada masa akan datang.

“Kita cuma mahu menyelesaikan masalah ini mengikut hukum syarak bagi kes-kes yang berkaitan. Katalah kalau ada orang hendak berkahwin, jika kita tidak benarkan, mereka akan berzina pula.

“Oleh kerana itu kita terpaksa kahwinkan mereka juga, namun bila sudah berkahwin, ia akan menyalahi undang-undang Imigresen pula (jika tidak melakukan mengikut prosedur), itu tidak boleh selesai… kalau dah berkahwin dan tidak daftar, akan jadi masalah kemudian hari termasuk persekolahan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Penubuhan Sekretariat NGO Islam Pahang di sini, hari ini sebagai mengulas tentang tindakan yang boleh dikenakan terhadap wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing tanpa mematuhi syarat dan prosedur perkahwinan ditetapkan Jabatan Imigresen.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan dengan mendalam pada mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Resam negeri Pahang (MUIP) baru-baru ini.

“Dari segi hukum syarak kita sudah lepas (tanggungjawab) namun perkara berkaitan undang-undang Imigresen kita kurang pasti.

“Jika pihak penguatkuasa (Imigresen) hendak mengambil tindakan ke atas pasangan yang terlibat mereka boleh buat kerana itu merupakan sebahagian daripada tugas mereka tetapi dari aspek agama pula mereka diharuskan berkahwin,” katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed dalam kenyataan dilaporkan berkata wanita tempatan yang berkahwin dengan warga asing tanpa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen boleh dikenakan tindakan kerana melindungi pendatang tanpa izin.

Ia merupakan kesalahan mengikut Seskyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau enam sebatan.

Malah Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) buruh berkenaan boleh terbatal secara automatik dan perlu meninggalkan negara.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");