Perak Hari Ini

Persidangan Dewan Belia Perak Ruang Terbaik Bahas Dasar TN50

IPOH:Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Belia Perak kali ini diharapkan menjadi ruang terbaik kepada para ahli dewan membahas juga menyuarakan hasrat mereka mengenai dasar Transformasi Nasional (TN50).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata persidangan ini merupakan ruang untuk mereka membincangkan mengenai TN50 kerana ia merupakan satu idea besar negara bagi masa depan golongan belia terutamanya.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menggagaskan idea TN50, maka jika mereka tidak mengambil kesempatan ini untuk membahaskan ciri-ciri TN50 yang mereka mahukan mungkin tiada lagi ruang sebaik begini untuk mereka suarakan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Belia Perak Darul Ridzuan yang bersidang secara rasminya hari ini.

Katanya, ruang persidangan ini boleh diibaratkan sebagai Dewan Tertinggi buat golongan belia dan mereka (ahli dewan) diibaratkan seperti wakil rakyat golongan muda yang akan membicarakan hasrat golongan muda kepada pihak kerajaan dan kepimpinan negeri.

“Pihak kepimpinan akan mengambil idea yang dilontarkan dan dimasukkan dalam perbincangan TN50 lantas menjadi dasar kepada pelaksanaannya kelak,” katanya.

Sementara itu beliau menambah persidangan pertama tahun lalu telah terbukti membuahkan hasil apabila segala input yang dilontarkan oleh para perwakilan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan mengikut keseuaian.

“Terdapat beberapa idea utama pada persidangan pertama telah dilaksanakan antaranya cadangan menyediakan ruang kepada golongan muda pada persidangan besar oleh kerajaan negeri seperti membawa penyertaan belia pada persidangan seperti Pangkor Dialogue.

“Kita juga telah menyediakan skim perumahan yang lebih baik khusus buat golongan muda dengan penubuhan Lembaga Perumahan termasuk juga kluster usahawan untuk belia turut dibincangkan dan laksanakan,” katanya.

Tambahanya lagi, Program Fit Perak lanjutan daripada Fit Malaysia juga telah dianjurkan di setiap daerah menerusi penganjuran Program Permukiman Menteri Besar selain juga menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia melalui penubuhan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) di peringkat negeri.

“Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan 14 cawangan pusat sumber setempat yang mana ia merupakan hasil perbahasan yang berjalan pada persidangan kali pertama selain menyediakan peluang dalam bidang industri kreatif kepada golongan belia melibatkan kerjasama daripada pihak KRU Studio,” katanya.

Persidangan Dewan Belia Perak bakal berlangsung selama tiga hari bermula pada 5 Mei sehingga 7 Mei ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");