Berita Hari Ini

Pertimbang Jaminan Borneonisasi Dalam Pelantikan Naib Canselor UMS – Ongkili

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi harus mengambil kira jaminan Borneonisasi seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 apabila memilih Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu.

“Saya telah membangkitkan perkara itu dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh pada mesyuarat Kabinet yang lepas dan beliau telah mengesahkan bahawa jawatankuasa pemilihan tidak mengemukakan apa-apa cadangan bagi pemilihan naib canselor UMS yang baharu,” kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata perbahasan sekarang mengenai perkara pelantikan Naib Canselor UMS yang baharu hanya spekulasi.

“Sebagai pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah, saya telah menyampaikan kepada beliau (Idris) bahawa ia tidak boleh diterima bagi jawatankuasa pemilihan untuk memutuskan bahawa tiada calon anak jati Sabah yang berkelayakan untuk mengisi jawatan Naib Canselor kerana dua naib canselor yang lepas ialah anak jati dari Sabah,” kata beliau.

Walaupun mengakui bahawa untuk pemilihan bagi jawatan Naib Canselor, seorang calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik dan kemahiran yang terbukti dalam pengurusan, Ongkili berkata jaminan Borneonisasi yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 menyatakan bahawa dalam pelantikan jawatan kanan dalam perkhidmatan awam persekutuan, keutamaan perlu diberikan kepada pegawai terdiri daripada warga tempatan.

“Saya yakin bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi akan mematuhi jaminan MA63,” kata beliau.

Menurut laporan dalam media, Lembaga Pengarah UMS telah mencadangkan dua calon bukan anak jati Sabah untuk mengambil alih daripada Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, yang akan bersara bulan depan.

Netizen telah menyelar cadangan tersebut dan menyifatkan cadangan itu sebagai mengenepikan calon anak jati Sabah.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");