Sukan Hari Ini

Piala FA: Polis Perketat Kawalan Keselamatan

POLIS akan mengetatkan kawalan keselamatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, di Paroi dekat sini bagi memastikan perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA antara Negeri Sembilan dan Pahang Sabtu ini, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lebih ramai anggota polis akan dikerahkan untuk bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan tiada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi.

“Kami sentiasa bersedia dan telah membuat perancangan rapi berkait soal keselamatan antaranya menempatkan anggota dalam kalangan penonton dan membuat rakaman bagi memastikan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekecohan dapat dikenal pasti.

“Jumlah anggota polis yang akan bertugas belum diputuskan lagi dan ia bergantung kepada jumlah penonton yang dijangka hadir pada malam itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata, selain anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, kawalan keselamatan juga akan melibatkan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Beliau turut menasihatkan penonton agar menjaga diri dan mematuhi kawalan keselamatan yang ditetapkan selain tidak membawa barang larangan seperti senjata tajam, botol minuman dan bahan letupan.

“Ketua-ketua kelab penyokong diminta untuk mengawal kelakuan anggota masing-masing agar tiada provokasi yang cuba ditimbulkan sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya.

Selain itu, Muhamad Zaki juga meminta agar pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka di tempat yang disediakan.

“Pastikan kenderaan dikunci sebelum ditinggalkan dan jangan meletak kenderaan di tempat yang boleh menghalang laluan,” katanya.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Negeri Sembilan menentang Pahang dijadualkan berlangsung Sabtu ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bermula jam 9 malam. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");