Jenayah

Polis Terima Enam Laporan Kes Buli Di MRSM Parit

PARIT: Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kes itu membabitkan mangsa yang kesemuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya menerima enam laporan polis mengenai kes buli itu pada 6 Mei lepas.

“Setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan, malah 10 pelajar yang terlibat telah digantung sekolah. Kita juga telah merakam percakapan daripada 10 suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 147 kerana mendatangkan kecederaan,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Menurutnya, polis telah mengambil tindakan berlandaskan undang-undang manakala pihak sekolah juga telah memberi kaunseling kepada kesemua pelajar yang terlibat.

“Ibu bapa kepada pelajar yang terlibat juga diminta tidak melakukan tindakan terburu-buru sehingga boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zainal berkata polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun serta bunga api yang disimpan dalam bonet belakang keretanya di Jalan Teluk Sena-Kunci Air Salleh, Kampung Gajah di sini, semalam.

Antara mercun yang dirampas ialah empat plastik jenis Candela China, enam kotak Happy Boom, sembilan paket Banger Great Britain, 15 kotak Magic Boom dan 30 bungkus mercun bola.

Katanya anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kampung itu menahan suspek berumur 43 tahun yang memandu kereta jenis Proton Waja, kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan di belakang bonet kereta milik suspek telah menjumpai kesemua mercun yang dipercayai dibeli daripada pembekal di sekitar kawasan berdekatan.

“Kesemua mercun dianggarkan bernilai RM2,300 dan suspek dikatakan akan menjualnya menjelang Ramadan nanti,” katanya.

Mohamad Zainal berkata suspek yang juga penyedia perkhidmatan membaiki alat mesin basuh itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kini ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");