KOTA KINABALU: Harapan untuk menyelamatkan Puntung, salah seekor daripada tiga ekor badak sumbu Sumatera yang ada di Malaysia punah selepas doktor haiwan mengesahkan haiwan ini bakal mati kerana kanser sel skuamus.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata Puntung sebelum ini telah menjalani pembedahan gigi, yang dipercayai mampu menyelamatkan dirinya dan spesiesnya.
“Kami fikir bahawa kami telah menyelamatkannya daripada jangkitan gigi yang mengancam nyawanya beberapa bulan yang lalu.
“Tetapi sekarang, ternyata bengkak di pipi kiri Puntung yang membuatkan kami sedar tentang jangkitan pada akar gigi giginya berpunca dari sesuatu yang lebih serius,” katanya memetik laporan Mstar Online.
Beliau berkata bengkak di pipi Puntung ini semakin membesar selepas pembedahan dan dua biopsi berikutnya mengesahkan bahawa Puntung menghidap karsinoma sel skuamus.
Tuuga berkata kanser itu telah merebak dengan pantas sejak beberapa minggu lalu dan pakar-pakar dari beberapa negara bersetuju bahawa ia akan membawa maut sama ada dengan atau tanpa rawatan.
“Sehingga hari ini, Puntung tidak lagi boleh bernafas melalui lubang hidung kirinya. Tidak boleh lagi bersuara, sedang menanggung kesakitan dan keadaannya merosot dengan pantas.
“Selain memberi ubat penahan sakit, tiada apa yang boleh dilakukan kepadanya,” katanya.
Doktor veterinar dan pakar lain kini membuat persiapan untuk melaksanakan pengambilan ovum dengan mengumpul telur matang terus dari ovari Puntung.
Jika prosedur ini berjaya, Puntung mungkin dapat menyumbang kepada survival spesiesnya.
Populasi badak Sumatera di Sabah telah berkurangan kepada hanya tiga spesimen dalam kurungan, dengan haiwan ini dianggap telah pupus di hutan.