Isu Panas

Rafizi Diminta Tampil Mohon Maaf, Atau Dikenakan Tindakan

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli digesa menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kenyataannya yang mengaitkan hakim-hakim Mahkamah Syariah dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Wan Abd Malik Wan Sidek yang membuat laporan polis terhadap kenyataan Rafizi berhubung perkara itu turut memberi tempoh sebulan untuk menarik balik kenyataannya kerana menganggap video berkaitan telah tersebar meluas dan menghina hakim-hakim syarie.

“Sekiranya beliau tidak tarik balik kenyataan beliau dalam tempoh satu bulan yang diberikan ini, saya akan terus dengan laporan ini dan saya minta supaya disiasat di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas unsur jenayah fitnah yang dibuat oleh beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, wakil Terengganu adalah negeri kedua yang membuat laporan polis selepas laporan sama dibuat Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Mahammad Ibrahim berhubung isu tersebut.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Malik berkata, kenyataan Rafizi itu disedari melalui perkongsian video yang dikirim kepadanya semalam dan menyifatkan kenyataan Naib Presiden PKR itu sebagai satu penghinaan dan tidak berasas.

Rafizi ketika program Parlimen ‘olok-olok’ pada 10 April lalu menyatakan bahawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang tidak menaikkan gaji hakim Mahkamah Syariah akan meningkatkan risiko pengambilan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan hakim-hakim syariah.

“Pada saya kenyataan ini boleh membawa kepada penghinaan kepada hakim-hakim seluruh Malaysia dan saya merasa bertanggungjawab sebagai seorang hakim dan juga sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah (Syariah) Terengganu,” katanya.

Ditanya kewajaran kenyataan Rafizi itu, Wan Abd Malik menganggap kenyataan tersebut bersifat melulu dan tidak berasas.

Beliau mengakui melalui rekod yang ada, kes rasuah yang berlaku di kalangan hakim hanya melibatkan satu kes sahaja.

“Jadi, kalau sekiranya seorang (sahaja) yang (buat salah tetapi) dibuat (kesimpulan) atas keseluruhan, itu tidak adillah. Saya rasa ini tuduhan yang melulu dan tidak ada asas dibuat oleh beliau,” katanya lapor Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");